Lim Pek Siah dan Chin Eei Hui masih belum dipanggil BAM, lantikan jurulatih baru seawal hujung tahun ini
Setakat ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) belum memanggil mana-mana jurulatih untuk mengisi kekosongan yang terdapat di bahagian kejurulatihan beregu negara yang telah sekian lama ditinggalkan.
Terdahulu, duo Indonesia Paulus Firman dan Flandly Limpele merupakan antara jurulatih yang telah meninggalkan BAM termasuk seorang lagi jurulatih tempatan, Chan Chong Ming.
Pengarah Kejurulatian Beregu BAM, Rexy Mainaky mengakui ada bertemu dengan bekas pemain negara, Lim Pek Siah pada Julai lalu untuk membincangkan tentang perkara ini.
Pek Siah yang kini bersama Persatuan Badminton Singapura (SBA) telah berada di dalam radar BAM dan Rexy hanya menunggu keputusan daripada barisan pengurusan.
Difahamkan kontrak Pek Siah yang sedang melatih pasangan beregu Singapura akan tamat pada penghujung bulan ini.
Jurulatih berusia 42 tahun tersebut pernah bersama barisan kejurulatihan BAM pada tahun 2015 sebelum mengundurkan diri pada tiga tahun berikutnya.
Selain Pek Siah, legenda beregu wanita negara, Chin Eei Hui merupakan satu lagi nama yang turut berada di dalam pertimbangan BAM.
Eei Hui yang kini bertanggungjawab melatih beberapa pasangan beregu profesional seperti Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dilihat merupakan salah seorang calon terbaik berdasarkan pencapaaian semasanya.
Beliau sebelum ini pernah bertanggungjawab selaku jurulatih beregu campuran BAM selama tujuh tahun sebelum meninggalkan persatuan tersebut pada tahun 2018.
Namun, sehingga kini masih belum ada perkhabaran terbaru tentang kedua-dua individu ini bagi kembali memperkuatkan barisan kejurulatihan beregu negara.
Seharusnya BAM dapat menyegerakan proses bagi mendapatkan khidmat mereka memandangkan jurulatih tempatan mula mendapat perhatian daripada negara-negara luar.
Baru-baru ini, Pek Siah berjaya membawa pasangan beregu campuran Singapura, Terry Hee-Jessica Tan menjadi pemain badminton pertama dari negara tersebut yang berjaya memperoleh pingat emas di Sukan Komanwel.
Pada masa yang sama, BAM kini dikaitkan dalam proses untuk mendapatkan khidmat juara Sukan Olimpik Sydney 2000, Tony Gunawan.
Legenda badminton Indonesia yang berpengakalan di Amerika Syarikat tersebut pernah bergelar selaku juara dunia pada tahun 2005 sewaktu berpasangan dengan Howard Bach untuk mewakili Amerika Syarikat.
Sama seperti Eei Hui dan Pek Siah, kemasukan Tony masih belum dapat disahkan oleh pihak BAM namun Rexy mengakui ada melakukan ‘perbincangan’ bersama individu tersebut.
Menurut kenyataan rasmi yang diberikan, kemasukan jurulatih di sektor beregu akan berlaku pada penghujung tahun ini atau pada awal 2023.
Semoga BAM dapat menemui satu solusi terbaik dalam terus mempertingkatkan kualiti pasangan beregu negara.
Kini, dapat dilihat peningkatan yang ditunjukkan oleh pasangan-pasangan beregu negara dari segi kedudukan ranking dunia.
Terdapat tiga beregu lelaki negara yang berada di kelompok sepuluh terbaik dan dua daripadanya adalah pasangan yang bernaung di bawah BAM.
Manakala untuk beregu wanita, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan kini berada di kedudukan kesepuluh dunia serta baru sahaja memenangi kejohanan Terbuka Perancis.
Semoga kedudukan dan kejayaan yang berjaya diraih ini dapat dikekalkan untuk tempoh masa yang lebih panjang selepas ini.
Dalam pada itu, pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See sah akan meninggalkan BAM berkuatkuasa pada 30 November ini.