Hati P. Maniam masih untuk PJ City tapi belum ada kenyataan rasmi dari pengurusan tentang ‘restructure’

439

Ketua jurulatih PJ City FC, P Maniam ingin terus kekal bersama The Phoenix meskipun mengakui ada terima beberapa tawaran untuk melatih pasukan lain di Liga Super musim hadapan.

Setelah dua tahun bersama kelab, legenda Selangor, P. Maniam telah membuktikan kredibiliti beliau sebagai seorang jurulatih tempatan berpengalaman.


Walaupun menggunakan khidmat sepenuhnya pemain tempatan, pencapaian PJ City musim ini tidaklah terlalu mengecewakan jika hendak dibandingkan dengan pasukan yang mempunyai kehadiran pemain import untuk memperkuatkan pasukan.

Untuk saingan Liga Super, PJ City mengakhiri musim ini di tangga kesembilan selepas mencatatkan enam kemenangan dan lapan keputusan seri selepas 22 perlawanan.

Kejayaan tersebut meletakkan mereka berada di atas pasukan Melaka United FC, Sarawak United FC dan Penang FC yang sekurang-kurangnya memiliki tiga pemain import dalam setiap perlawanan.

Namun, sayangnya masih belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pemilik pasukan, Vijay Eswaran mengenai penstrukturan semula yang diperkatakan sebelum ini.

Perkara ini menimbulkan tanda tanya di kalangan ramai pihak tentang status kelab Lembah Klang ini untuk saingan musim depan.

Malang sekiranya pasukan ini tidak dapat dikekalkan tatkala mereka mempunyai banyak pemain berkualiti yang mampu untuk terus memperkuatkan pasukan di masa hadapan.

Sejurus tamat saingan musim ini, ada beberapa pemain dari PJ City yang telah mula diintai oleh pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia.

Antara yang menjadi tumpuan adalah dua penjaring utama, Darren Lok dan S. Kumaahran yang dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Sabah FC untuk saingan Liga Super 2023.

Pemain muda yang semakin meningkat naik, V. Ruventhiran difahamkan turut diintai oleh beberapa pasukan seperti Selangor FC dan Perak FC.

Manakala, penjaga gol muda yang agak konsisten musim ini, Kalamullah Al Hafiz turut dikatakan berada di dalam radar beberapa pasukan termasuk Kedah Darul Aman FC yang bakal melakukan rombakan besar-besaran selepas musim yang mengecewakan tahun ini.

Namun kesemua ‘rumours’ ini masih belum dimuktamadkan tatkala para pemain yang disebut ini masih berharap untuk dapat menabur bakti kepada kelab yang berpegang teguh kepada prinsip #YakiniLokal ini.

Selain pemain dan pihak kejurulatihan, ramai peminat yang turut menanti-nantikan pengumuman rasmi daripada pengurusan terhadap keadaan sebenar dan hala tuju pasukan selepas ini.

Lebih baik jika pengurusan dapat mengemukakan perancangan sebenar penstrukturan semula yang diperkatakan serta status kewangan pasukan untuk kekal bersaing di kancah Liga Super 2023.

Tambahan pula, ada baiknya jika kenyataan rasmi dapat dibuat dalam masa terdekat, mudah untuk para pemain serta barisan kejurulatih terutamanya P. Maniam untuk menentukan hala tuju mereka sebelum saingan musim depan bermula.

Saingan musim 2022 telah berakhir buat PJ City selepas mereka kecundang pada pusingan 16 Piala Malaysia di tangan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim FC dengan agregat 6-0.