Keisuke Honda ingin Kemboja pertimbangkan langkah ‘fast-track’ pemain naturalisasi dan warisan

1,338

Kemboja dilihat akan menjadi negara ASEAN seterusnya yang bakal mempertimbangkan kemasukan pemain naturalisasi dan warisan bagi memperkuatkan pasukan kebangsaannya.

Hal ini dikongsi oleh ketua jurulatih negara tersebut, Keisuke Honda yang melihat inisiatif ini sebagai pilihan tepat untuk membantu memperbaiki kualiti pasukan ini.


Tambahan pula, perkara ini telah menjadi salah sebuah perkara yang semakin rancak dilakukan oleh beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia sendiri.

Kemasukan pemain warisan dan naturalisasi seperti Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula, Dion Cools dan Corbin Ong dilihat telah meningkatkan mutu pasukan bola sepak negara sejak kebelakangan ini.

Antara kejayaan terbesar yang dapat dilihat adalah menerusi kejayaan skuad negara untuk melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia yang dijadual berlaku pada tahun hadapan.

Selain Malaysia, Indonesia juga dilihat semakin aktif merekrut pemain kacukan mereka yang berpengakalan di luar negara termasuk untuk pasukan muda mereka.

Dapat dilihat pengambilan pemain-pemain ini telah meningkatkan kualiti Indonesia untuk berada di tahap yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Jika Kemboja mengambil langkah untuk melakukan perkara ini, tidak mustahil dalam 2-4 tahun lagi mereka akan menjadi antara nama besar bola sepak di rantau Asia Tenggara.

Ini kerana, mereka ada beberapa pemain berdarah kacukan yang berpotensi untuk dijadikan selaku pemain warisan untuk memperkuatkan pasukan selepas ini.

Terkini, Honda telah memanggil pemain muda kacukan Kemboja-Amerika Syarikat, Nick Taylor untuk bersama dengan pasukan sewaktu perlawanan persahabatan menentang Bangladesh.

Pemain berusia 24 tahun tersebut telah dimasukkan pada minit ke-60 bagi menggantikan seorang lagi pemain tengah muda, Sin Kakada pada perlawanan yang berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada Bangladesh.

Taylor yang kini beraksi bersama pasukan Orlando City B di liga divisyen ketiga di Amerika Syarikat berjaya menarik perhatian Honda menerusi persembahan menyakinkan beliau.

Beliau boleh dikatakan antara pemain utama pasukan selepas diturunkan sebanyak 22 kali daripada 26 perlawanan sepanjang musim ini.

Taylor akan menjadi prospek besar buat pasukan kebangsaan Kemboja jika khidmat beliau terus ditagih selepas ini.

Selain Taylor, mereka turut memiliki beberapa lagi pemain berdarah kacukan termasuk pemain berdarah kacukan Kemboja-Perancis, Boris Kok yang merupakan pemain import Sarawak United.

Nampaknya, saingan di peringkat Asia Tenggara akan menjadi lebih sengit dan semakin mencabar selepas ini.