Tan Cheng Hoe anggap Selangor FC pasukan ‘underdog’ menentang Negeri Sembilan FC di suku akhir Piala Malaysia
Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengganggap pasukannya adalah pasukan ‘underdog’ menjelang perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC pada 6 November ini.
“Kita tahu pasukan Negeri Sembilan ketika ini berada pada tahap terbaik jika kita lihat beberapa perlawanan terakhir mereka. Untuk perlawanan itu nanti kita merasakan diri kita adalah pasukan ‘underdog’ kerana kita baru bentuk pasukan untuk menghadapi pasukan yang lebih kuat dari kita,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Cheng Hoe bagaimanapun mahu pemainnya mengambil kesempatan bermain di tempat sendiri iaitu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk peroleh keputusan positif untuk di bawa ke tempat lawan pada perlawanan kedua nanti.
Beliau turut mengakui pasukan lawan mempunyai barisan pemain-pemain berkualiti yang perlu diberi perhatian oleh anak buahnya.
“Kekuatan mereka adalah mereka mempunyai pemain import yang berkualiti dan kalau kita lihat pemain tempatan mereka seperti Syihan Hazmi dan Jimmy (Khuzaimi Piee) juga menyerlah pada perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC baru-baru ini.”
Biarpun akan berwaspada dengan serangan daripada Negeri Sembilan, Cheng Hoe berkata pasukannya akan bermain dengan corak permainan menyerang.
“Ya memang corak permainan kami lebih kepada menyerang tapi kita akan sentiasa berjaga-jaga apabila menyerang kerana kita tahu kekuatan Negeri Sembilan adalah dari segi serangan balas dan mereka juga mempunyai pemain yang laju seperti Matheus Alves dan Gustavo Almeida serta beberapa pemain lain memang berbahaya.”
Dalam pada itu, Cheng Hoe tidak akan berdepan masalah dengan pemilihan pemain yang akan diturunkan nanti berikutan kesemua pemainnya bebas dari sebarang kecederaan.
Pada perlawanan pusingan 16 baru-baru ini, Selangor telah berjaya menewaskan PDRM FC dengan agregat 3-0.