Tan Cheng Hoe tiada masalah lepaskan pemainnya sertai Harimau Malaya untuk kejohanan Piala AFF

819

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe tiada masalah untuk melepaskan mana-mana pemainnya sekiranya dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya bagi menyertai kejohanan Piala AFF.

Cheng Hoe berkata demikian walaupun menyedari bahawa kejohanan Piala AFF tiada dalam kalendar FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).


“Ya memang kita tahu Piala AFF bukan berada dalam kalendar FIFA tapi saya akan bincang dengan pihak pengurusan dan pemain sendiri samada mereka perlu mewakili pasukan negara atau tidak.

Tetapi bagi saya sebagai jurulatih saya mengharapkan pemain akan bersama skuad kebangsaan kerana itu adalah satu penghormatan buat mereka. Mana-mana pemain apabila bermain di liga mempunyai satu matlamat iaitu bermain untuk negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau pada masa sama berkata pihaknya akan melihat kepada keadaan pemain yang dipanggil terlebih dahulu samada cergas atau tidak, dan sekiranya cergas beliau akan menggalakkan pemainnya untuk mewakili pasukan kebangsaan.

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon dijangka akan menyenaraikan pemain yang akan menyertai kem latihan berpusat bagi menghadapi kejohohanan dwitahunan itu.

Sementara itu, Cheng Hoe yang juga merupakan bekas pengendali pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) enggan mengulas mengenai tindakan pengurusan KDA yang akan melakukan rombakan besar-besaran pada musim hadapan selepas mempamerkan aksi hambar sepanjang musim ini.

Menurut Cheng Hoe, fokusnya kini hanya kepada Selangor dan enggan beri sebarang komen mengenai bekas pasukannya itu.