Rezal Zambery anggap pemain import dan pemain tempatan sama, siapa tidak ‘perform’ duduk bangku simpanan

526

Ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya tidak memandang pemain import lebih baik daripada pemain tempatan dan tidak bergantung harap kepada pemain tertentu sahaja.

Menurutnya, beliau menilai prestasi setiap pemain ketika sesi latihan dan bersedia meletakkan pemain yang tidak menunjukkkan pretasi yang baik di bangku simpanan.


“Prinsip saya adalah saya tidak bergantung harap kepada mana-mana pemain individu, semua pemain adalah penting dalam pasukan ini dan mereka perlu bersaing untuk kesebelasan utama.

Walaupun anda pemain import, jika anda tidak tunjukkan prestasi yang baik, saya akan letakkan di bangku simpanan. Jadi ini satu motivasi untuk semua pemain menunjukkan permainan yang baik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Mengenai persiapan pasukan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir pertama Piala Malaysia esok, beliau berkata semua berada dalam keadaan yang baik, namun terdapat beberapa pemain utama yang masih dilanda kecederaan seperti penyerang, Nurshamil Abd Ghani.

Menurutnya, beliau tidak akan terburu-buru untuk menurunkan pemain itu memandangkan masih ada perlawanan timbal balik di Johor selepas ini.

Beliau bagaimanapun tidak bimbang kerana percaya terdapat pemain lain yang mampu menggalas tanggungjawab di bahagian serangan.

“Saya sedang menunggu laporan sama ada pemain-pemain yang cedera boleh beraksi atau tidak pada perlawanan esok, tetapi fokus sekarang lebih kepada persediaan pasukan supaya mereka mampu berikan komitmen 100 peratus dan ikut taktikal yang diterapkan.

Nurshamil masih dilanda kecederaan dan kalau ikutkan saya tak mahu paksa beliau beraksi esok kerana kita ada perlawanan kedua di Johor, jadi kita lihat dulu macam mana.”

Beliau mengakui mungkin akan mengekalkan kesebelasan utama yang sama bagi melawan JDT esok.

Tambahnya, para pemain sudah bersedia untuk memberi cabaran kepada juara Liga Super itu dan tidak terlalu menghormati walaupun tahu mereka pasukan yang hebat.

Katanya, yang penting adalah mereka fokus terhadap diri sendiri dan tahu komitmen mereka di atas padang.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham memberi kepercayaan kepada pasukan untuk melakukan yang terbaik dan mahu melihat kesungguhan setiap pemain pada perlawanan itu.