Marc Vales akui mungkin ada rakan sepasukan kurang senang dengannya

1,659

Pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA), Marc Vales mengakui beliau merasakan ada dalam kalangan rakan sepasukannya yang tidak suka dengan etika kerjanya yang mahukan setiap pemain termasuk dirinya memberikan yang terbaik dalam setiap latihan.

“Saya sentiasa ‘demand’ lebih daripada rakan sepasukan dalam sesi latihan. Bila saya berlatih atau bermain saya sentiasa beri yang terbaik 100%, boleh jadi terbaik dan boleh jadi tak terlalu teruk, tapi bagi sesiapa yang mengenali saya tidak boleh ‘complaint’ dengan etika kerja dan gaya bola sepak saya.

Setiap kali latihan saya sentiasa bersikap ‘demanding’ dari diri saya dan juga rakan sepasukan. Sejujurnya saya rasa perkara ini membuatkan ada rakan sepasukan yang tidak suka. Banyak pemain bukan malas tapi mereka berfikiran seperti ‘okay pergi latihan dan balik rumah’.

Tapi bagi saya pergi latihan dan turun beraksi adalah hidup saya. Ini yang saya rasa, mungkin saya salah, mungkin semua suka saya tapi sejujurnya saya tidak berasa seperti itu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Vales tidak melihat harapan tinggi yang diletakkan peminat terhadap Sang Kenari adalah sesuatu yang negatif, sebaliknya satu perkara positif kerana ia adalah bukti bahawa kelab ini adalah sebuah kelab besar.


Beliau pada masa sama turut mengakui bahawa pasukan KDA pada musim ini perlukan masa untuk mendapat menjadi sebuah pasukan yang baik.

“Saya bersetuju pasukan ini perlukan masa. Saya lihat pasukan lain seperti Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, JDT, Selangor FC dan Sabah FC mereka mempunyai sebuah pasukan yang matang dan berpengalaman.

Bagi saya itulah kekurangan pasukan ini kerana kita mempunyai ramai pemain muda yang mempunyai semangat tinggi untuk bermain tetapi kurang pengalaman. Ia adalah satu proses dan ia memerlukan masa dan anda tidak boleh letak harapan terlalu tinggi. Anda boleh lihat skuad kami lebih 50% adalah pemain muda.”

Tambahnya lagi, kekurangan pemain berpengalaman menjadi faktor utama mengapa mereka sukar untuk bersaing menjadi pasukan terbaik dalam saingan liga.

Sementara itu, beliau yang ditanya samada mengikuti perkembangan kenyataan kontroversi membabitkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang juga Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau tidak ambil pusing dengan apa yang berlaku di luar padang.

Pemain kebangsaan Andorra itu menjelaskan beliau tidak ambil pusing dengan perkara di luar padang kerana beliau datang ke sini untuk bermain bola sepak.