Kami dah jangka lawan Kelantan sukar kerana mereka bermain agresif dan keadaan padang teruk – Hector Bidoglio

1,422

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio percaya bahawa tugas pasukannya masih belum selesai walaupun mencatat kemanangan selesa 3-0 pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Kelantan FC sebentar tadi.

Katanya, pasukan akan terus berlatih bersungguh-sungguh sepanjang minggu ini untuk menghadapi perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim.


“Tugas kami masih belum selesai lagi, kita masih ada perlawanan timbal balik selepas ini, jadi kita perlu menjalani tempoh pemulihan dan berlatih bersungguh-sungguh untuk perlawanan seterusnya.

Saya ucapkan tahniah kepada para pemain atas kesungguhan yang mereka tunjukkan pada perlawanan sebentar tadi,”

katanya.

Beliau mengakui sudah menjangkakan perlawanan menentang Kelantan akan menjadi sukar kerana mereka merupakan pasukan yang baik dan agresif.

Tambahnya, keadaan padang yang buruk juga membuatkan pasukannya sukar bermain seperti biasa.

Mengenai kad merah yang diterima pemain tengah, Afiq Fazail pada perlawanan itu, beliau tidak gusar kerana terdapat pemain lain yang boleh mengisi kekosongan tersebut.

“Bagi peringkat kalah mati setiap perlawanan adalah sukar jadi kami harus lihat siapa yang boleh gantikan beliau, tetapi kami ada skuad yang ramai pemain berkualiti.

Tiada apa yang pasti lagi dan kita akan lihat sepanjang minggu ini.”

Tambahnya, beliau memberi peluang kepada Syafiq Ahmad untuk berada dalam kesebelasan utama berbanding Fernando Forestieri kerana pemain itu layak berdasarkan prestasi yang ditunjukkan ketika sesi latihan.

JDT berjaya menewaskan Kelantan 3-0 di Stadium Sultan Muhammad IV hasil jaringan Bergson da Silva, Syafiq Ahmad dan Leandro Velazquez.