Mungkin jika kami tak jumpa JDT di suku akhir kami boleh melangkah lebih jauh – Abdul Latiff Suhaimi

3,416

Pemain Kelantan FC, Abdul Latiff Suhaimi percaya Kelantan FC mampu melangkah lebih jauh pada Piala Malaysia sekiranya tidak bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di suku akhir.

Beliau mengakui sukar untuk mencatat kemenangan pada perlawanan kedua di Stadium Sultan Ibrahim minggu depan, tetapi bertekad akan melakukan yang terbaik.


“Mungkin kalau kita tak jumpa JDT di suku akhir kita boleh melangkah lebih jauh lagi dalam kejohanan ini.

Sudah tentu saya kecewa tapi saya rasa bangga kerana dapat bermain di hadapan penyokong setia Kelantan, dan semua pemain sudah berikan yang terbaik malam ini,” katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau mengakui mereka ada melakukan kesilapan dan harus memperbaiki perkara itu pada perlawanan timbal balik selepas ini.

Menurutnya, mereka akan cuba mengurangkan defisit gol pada perlawanan kedua nanti di Stadium Sultan Ibrahim.

“Untuk perlawanan kedua nanti memang agak sukar tetapi kita akan cuba yang terbaik untuk elak daripada kalah seperti di sini.

Kami akan ikut arahan serta taktikal jurulatih dan kita akan belajar daripada kesilapan untuk perlawanan itu.”

Dalam pada itu, beliau berkata telah mendapat tawaran daripada beberapa kelab untuk musim depan tetapi masih belum membuat keputusan lagi.

Katanya, beliau mahu mempertimbangkan semua tawaran terlebih dahulu sebelum membuat keputusan yang terbaik buat dirinya dan keluarga.