Lepas lima hari ambil alih Kelantan saya ada jumpa TMJ, tapi saya bawa kelab ini dengan cara sendiri – Zamsaham

1,406

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mengakui bahawa beliau ada berkomunikasi dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas mengambil alih kelab tersebut.

Namun beliau berkata, apa yang dilakukannya untuk pasukan Kelantan ketika ini adalah mengikut acuan beliau sendiri tanpa meniru mana-mana pasukan.


“Terus terang saya katakan, lima hari selepas saya ambil alih pasukan Kelantan memang TMJ ada panggil saya, tetapi selepas itu saya banyak berkomunikasi dengan orang kanan baginda.

Tapi apa yang saya buat untuk Kelantan lebih kepada corak saya sendiri, saya cuba olah dengan cara kita sendiri dan tidak meniru mana-mana pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Zamsaham berkata, walaupun beliau merupakan anak jati Johor, sentimen kenegerian tidak memberi pengaruh untuk beliau menguruskan pasukan Kelantan secara profesional.

Katanya, di zaman moden ini bola sepak adalah satu perniagaan dan kelab akan ketinggalan sekiranya memikirkan mengenai anak jati.

Sementara itu, beliau mengakui sudah mempunyai beberapa calon ketua jurulatih untuk Kelantan FC termasuk dua orang jurulatih dari luar negara dan seorang jurulatih berpengalaman dari Selatan tanah air.

“Setakat ini kita sedang nilai semua calon jurulatih dan sudah ada empat calon yang sedang dikenal pasti.

Untuk jurulatih saya nilai dua aspek, pertama apa yang beliau boleh sumbangkan kepada kelab dan kedua adalah dari segi kos kerana kita bukan kelab yang kaya.”

Sementara itu, beliau memuji penyokong Kelantan kerana sentiasa bersikap terbuka dan memberi sokongan padu kepada kelab untuk memastikan pasukan sentiasa bertambah baik.

Beliau juga mengakui sering berjumpa dengan individu-individu yang mempunyai pengalaman yang tinggi dalam bola sepak untuk terus memajukan pasukan Kelantan.