Ada pihak di sana sengaja burukkan nama saya supaya jual PSPS Riau dengan harga murah – Zamsaham

819

Pemilik PSPS Riau, Norizam Tukiman atau Zamsaham mengakui terdapat pihak yang sengaja memburuk-burukkan namanya supaya beliau menjual kelab itu dengan harga murah.

Menurutnya, beliau ada menerima tiga pembida yang menyatakan minat membeli kelab itu tetapi kesemuanya menarik diri kerana menganggap harga terlalu mahal.


“Selepas pemecatan bekas pengurus pasukan, ada pihak yang memburuk-burukkan pihak pengurusan dan menyebarkan fitnah dengan matlamat supaya saya jual kelab ini dengan harga yang murah.

Saya ada menerima tiga tawaran untuk membeli pasukan tersebut tetapi apabila saya nak jual mereka tak nak dan berkata harganya mahal, tetapi saya cuma mahu jual semula pada harga kos sahaja,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tegasnya, terdapat unsur ‘mafia’ yang mahukan beliau berundur dari kelab itu dalam masa yang sama cuba menjejaskan reputasinya.

Beliau yang juga pemilik Kelantan FC mengakui dalam tiga tahun terlibat dalam dunia bola sepak, beliau sudah melihat banyak perkara yang baik dan buruk.

“Industri bola sepak ini satu yang menyeronokkan tetapi ada juga unsur mafia di situ.

Saya juga sebenarnya malas nak cakap tentang perkara ini tetapi apabila tersebarnya fitnah ia menjejaskan reputasi saya sebagai pemilik kelab.”

Untuk rekod, Zamsaham mengambil alih PSPS Riau pada pertengahan tahun lalu.