Luahan hati saya tidak dituju kepada sesiapa, kalau dia terasa mungkin dia akan beri respon – Subkhiddin

2,799

Bekas pengadil negara, Subkhiddin Mohd Salleh memberitahu status yang dimuat naik di media sosial miliknya tidak ditujukan kepada sesiapa, sebaliknya ia hanya luahan hati berdasarkan pemerhatian mengenai apa yang berlaku di dalam dan juga di luar negara.

Subkhiddin juga menjelaskan perkataan ‘Tuan ku’ yang digunakan dalam penulisannya itu sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi.


“Saya suka dengan sastera dan sangat meminat sasterawan seperti A. Samad Said. Saya minat dengan orang-orang yang bila bercakap bukan dia cakap secara terus. Jadi sedikit sebanyak saya belajar bagaimana mereka meluahkan. Luahan sahaja bukan berkaitan dengan perkara di Malaysia sahaja, tetapi juga dengan apa yang saya lihat di luar negara.

Jadi luahan saya itu saya sampaikan dalam bentuk sedikit-sedikit kerana saya nak lihat respon orang. Kadang-kadang bila saya letak perkataan ‘Tuan ku’ orang fikir saya tuju kepada seseorang tetapi sebenarnya tidak. Ini kerana awak (merujuk kepada wartawan) juga panggil saya tuan, jadi ‘Tuan ku’ saya tu ada sedikit berbeza.

Luahan hati saya tidak dituju kepada seseorang, kalau dia terasa mungkin dia akan beri respon. Tiada niat untuk saya menghina orang atau jejaskan reputasi seseorang sebaliknya saya hanya mahu lihat maklum balas orang ramai,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sebelum ini beberapa status Subkhiddin telah menarik perhatian ramai antaranya; ‘Mulut dia ‘jannah’…Mulut orang ‘fitnah’…Tak begitu Tuan ku.’ dan ‘Rupa cerdik tapi bodoh..Rupa bodoh tapi cerdik..Tak begitu Tuan ku…’.

Beliau juga mengakui menerima pelbagai kritikan termasuk tohmahan yang dilemparkan kepadanya, namun tidak ambil pusing dengan perkara tersebut selagi ia tidak membabitkan keluarganya.

Jelasnya lagi, beliau sudah lali dengan kritikan dan tohmahan sejak berkecimpung dalam dunia pengadilan dari tahun 1990an.

Dalam perkembangan lain, Subkhiddin sekali lagi mengharumkan nama negara apabila kembali mendapat kepercayaan untuk bertugas dalam kejohanan bola sepak terbesar dunia iaitu Piala Dunia Qatar 2022 bulan ini.

Ini merupakan kali keempat beliau bertugas di pentas Piala Dunia selepas ditugaskan buat kali pertama sebagai pegawai keempat di Piala Dunia Afrika Selatan 2010, sebelum ditugaskan sebagai Instruktur Teknikal Pengadil pada Piala Dunia Brazil 2014 dan Piala Dunia Rusia 2018.

Untuk edisi 2022, beliau akan diberi tanggungjawab untuk merancang persiapan pengadil dari aspek teknikal, menganalisis prestasi pengadil, memberi penjelasan teknikal kepada pemain dan pegawai pasukan bertanding, serti memberi maklum balas mengenai prestasi pengadil sepanjang kejohanan.

Selain Subkhiddin, seorang lagi anak tempatan yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi dan Perhubungan Awam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj yang akan bertugas sebagai Pegawai Media.

Kedua-dua mereka akan terbang ke Qatar pada 10 November ini.