Subkhiddin lihat mutu pengadilan di Liga Malaysia biasa saja

1,413

Bekas pengadil kebangsaan terkemuka, Subkhiddin Mohd Salleh melihat mutu pengadilan pengadil di Liga Malaysia berada pada tahap biasa sahaja iaitu tidak terlalu bagus dan tidak terlalu teruk.

“Saya tidak boleh katakan ia adalah terbaik dan juga terlalu teruk. Apa yang saya lihat average saja berbanding dengan negara-negara lain.

Tapi kita jangan bandingkan dengan negara yang menggunakan VAR (video assistant referee), tak boleh. Jadi di Malaysia ini apa yang saya lihat dia bukan prestasi pengadil itu atau merujuk kepada prestasi sepanjang tempoh 90 minit, tetapi lebih merujuk kepada keputusan yang menjadi tular,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, keputusan yang mencetuskan pertikaian tidak sesekali menggambarkan prestasi buruk seseorang pengadil itu, sebaliknya itu hanya membabitkan keputusan yang dilakukannya.


“Katakan pengadil itu bagi penalti, mungkin ya dan mungkin tidak tapi orang akan cakap prestasi buruk. Itu bukan prestasi tapi itu keputusan kerana prestasi dinilai berdasarkan bagaimana pengadil itu mengendalikan sesebuah perlawanan dari awal hingga akhir.

Kemudian ada satu-satu insiden itu bukan prestasi tapi keputusan yang dibuat pengadil itu yang boleh menyebabkan pasukan itu mungkin kalah atau menang. Itulah perbezaannya.”

Jelasnya Subkhiddin yang juga merupakan tenaga pengajar teknik FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa dan KFA (Persatuan Bola Sepak Korea), beliau tidak melihat prestasi seseorang pengadil berdasarkan keputusan yang dibuat oleh pengadil itu sahaja, tapi saya melihat dari sudut keseluruhan.

Disebalik kontroversi membabitkan mutu pengadilan pengadilan tempatan, beliau juga mendedahkan bahawa pengadil-pengadil dari Malaysia sentiasa mendapat perhatian untuk perlawanan besar di peringkat antarabangsa.

Berikutan itu, beliau berharap agar pengadil-pengadil di Malaysia akan mempunyai lesen VAR untuk membolehkan mereka berpeluang untuk mengendalikan perlawanan-perlawanan lebih besar pada masa akan datang.

Dalam pada itu, bekas pengadil berusia 55 tahun itu turut mengulas mengenai prestasi pengadil kontroversi negara iaitu Zulkarnaian Zakaria atau lebih popular dalam kalangan peminat sebagai ‘Reff Botak’.

“Malangnya Zul ni terlibat dengan banyak insiden-insiden crucial, keputusan crucial yang perlu dibuat olehnya, di mana contoh melibatkan situasi penalti, ada yang betul ada yang tidak tapi itu bagi saya subjektif.”

Sementara itu, Subkhiddin berkata kekurangan saingan liga bola sepak wanita kompetitif menyukarkan untuk negara melahirkan ramai pengadil wanita berkualiti.

“Untuk mendapatkan lebih ramai pengadil wanita, kita kena ada liga wanita itu sendiri yang akan berlangsung sepanjang musim supaya pengadil wanita dapat mengendalikan perlawanan.

Tapi ia tidak boleh terhenti di situ sahaja. Untuk jadikan pengadil wanita lebih hebat kita kena lihat bagaimana dia boleh mengadili perlawanan lebih tinggi seperti remaja B-17 lelaki, perlawanan lelaki, dan mungkin Liga Super.”

Tambahnya lagi, ketika ini terdapat beberapa pengadil wanita di Eropah yang sudah mengendalikan perlawanan bola sepak lelaki, manakala pengadil wanita di AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) juga sudah ada beberapa yang ditugaskan untuk mengadili perlawanan B-17 dan B-20.

Beliau bagaimanapun berkata pemilihan pengadil wanita untuk mengendalikan perlawanan lelaki perlu dibuat berdasarkan merit yang mana pengadil wanita itu menepati kriteria dan melepasi ujian sama seperti yang dilalui oleh pengadil lelaki.