Penyokong Malaysia selalunya nak hasil segera, sedangkan bangunkan kelab bola sepak perlukan masa – Daudsu Jamaludin

875

Bekas pemain kebangsaan, Daudsu Jamaludin berpendapat bahawa kebanyakan penyokong bola sepak di negara ini sering mahukan hasil positif yang segera dan terlupa bahawa proses pembangunan bola sepak memakan masa yang panjang.

Menurutnya, pelbagai pengorbanan serta pelaburan yang harus dilakukan sekiranya mahu mengangkat sesbuah kelab ke tahap yang tinggi.


“Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari, sama juga dengan sebuah kelab bola sepak yang memerlukan sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun untuk menampakkan hasilnya.

Tiada jalan pantas untuk berjaya dan ia memerlukan pelaburan dan pengorbanan yang tinggi. Kalau pemilik kelab belanja ciput, hasilnya juga sesuai dengan perbelanjaan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau memberi contoh apa yang dilakukan oleh pemilik Kelantan FC, Zamsaham lakukan kepada kelab itu semenjak mengambil alih kira-kira dua tahun lalu.

Tambahnya, pemilik kelab bola sepak juga memerlukan pengetahuan dalam bola sepak dan sentiasa belajar tentang dunia bola sepak.

“Sebagai seorang pemilik kelab, apa yang penting adalah mempunyai pengetahuan tentang bola sepak, kalau tiada ilmu, laburlah banyak mana pun sukar untuk berjaya.

Penyokong pula harus memberi sokongan padu kepada kelab dan teruskan menyokong ketika kelab berada di bawah, jangan harapkan kejayaan segera.”

Jelasnya lagi, kebajikan pemain adalah antara perkara utama yang perlu dititikberatkan supaya fikiran pemain tidak terganggu.

Menurutnya, sekiranya bayaran gaji pun tidak boleh diselesaikan oleh kelab, para pemain tidak akan fokus terhadap bola sepak seterusnya mengganggu permainan.

Beliau memberi contoh bekas kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang begitu menjaga kebajikan para pemain.

Disebabkan itu menurutnya, JDT mampu berada di puncak begitu lama sejak ditubuhkan.