Pentingnya VAR ini kerana ia boleh juga mengawal tingkah laku pemain di atas padang – Subkhiddin

294

Bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh memberitahu penggunaan teknologi VAR (video assistant referee) bukan sahaja dapat bantu pengadil buat keputusan dengan lebih tepat, tetapi juga dapat kawal tingkah laku pemain di atas padang.

“Pentingnya VAR ini kerana ia boleh mengawal tingkah laku pemain. Sebab mereka perlu faham bukan sepasang atau dua yang melihat tapi ada lagi satu teknologi yang memerhatikan jika berlaku insiden melibatkan situasi kad merah yang mana ia boleh beri bantuan kepada pengadil.

Dengan cara ini ia dapat mengawal sikap sesetengah pemain yang cuba mempersenda undang-undang atau cuba mempermain peraturan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Subkhiddin turut memberi contoh situasi ketika sepakan penjuru yang mana pengadil perlu lebih peka supaya dapat mengesan sebarang kesalahan berlaku ketika ramai pemain berada di dalam kotak penalti.


Oleh itu, dengan adanya bantuan VAR ini ia dapat mengesan kesalahan yang tidak dapat dilihat oleh pengadil dalam situasi seperti itu.

Tambahnya lagi, penggunaan teknologi VAR bukannya mahu ‘re-referring’ sebaliknya mahu melindungi perlawanan.

“Sebagai contoh di Thailand, peminat di sana demand supaya tiada lagi kesilapan. Bukan mereka tidak boleh terima kesilapan, tapi mereka tak boleh terima kesilapan yang menyebabkan keputusan perlawanan berubah itu sukar untuk diterima.

Sebab itu Presiden FIFA Gianni Infantino berkata VAR ini bukan untuk re-referring tapi ia untuk melindungi perlawanan.”

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia yang masih belum menggunakan teknologi VAR dalam saingan liga domestik walaupun Liga Malaysia kini berada pada ranking No.1 di Asia Tenggara.

Sedangkan saingan liga domestik di negara-negara jiran seperti Thailand sudah lama menggunakan VAR, Singapura akan menggunakan musim depan manakala Vietnam dan Indonesia dalam perancangan untuk menggunakan VAR.

“Saya yakin FAM akan perkenal juga VAR ini, mungkin tahun depan berdasarkan keadaan semasa.”

Dalam pada itu, Subkhiddin yang merupakan Tenaga Pengajar Teknikal FIFA (Konfederasi Bola Sepak Antarabangsa) dan KFA (Persatuan Bolasepak Korea) sekali lagi terpilih untuk bertugas dalam kejohanan bola sepak terbesar dunia iaitu Piala Dunia Qatar 2022 yang akan berlansung dari 20 November hingga 18 Disember.

Untuk edisi kali ini, beliau telah diberi tanggungjawab untuk merancang persiapan pengadil dari aspek teknikal, menganalisis prestasi pengadil, memberi penjelasan teknikal kepada pemain dan pegawai pasukan bertanding, serti memberi maklum balas mengenai prestasi pengadil sepanjang kejohanan.

Ini merupakan kali keempat beliau bertugas di pentas Piala Dunia selepas ditugaskan buat kali pertama sebagai pegawai keempat di Piala Dunia Afrika Selatan 2010, sebelum ditugaskan sebagai Instruktur Teknikal Pengadil pada Piala Dunia Brazil 2014 dan Piala Dunia Rusia 2018.

Subkhiddin dan seorang lagi anak tempatan Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi dan Perhubungan Awam FAM, Christopher Raj akan bertugas sebagai Pegawai Media.