PJ City ‘umpama telur di hujung tanduk’, kekal bersaing di musim 2023 atau bakal dibubarkan?
Kelab Liga Super, PJ City FC kini ibarat ‘telur di hujung tanduk’ selepas tular beberapa khabar angin yang mempersoalkan masa depan mereka.
Sehingga ke hari ini, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan oleh pihak pengurusan kelab tersebut bagi menerangkan dan menjawab kesemua tanda tanya berkenaan keadaan semasa mereka.
Ini sekaligus menimbulkan persoalan di kalangan peminat bola sepak tanah air samada mereka akan kekal bersaing pada saingan musim depan atau tidak.
PJ City merupakan salah sebuah kelab yang terkenal dengan bajet kecil sehingga menyebabkan mereka bergantung sepenuhnya kepada khidimat pemain tempatan.
Status kewangan serta dana mungkin menjadi salah satu faktor utama yang mendorong kepada wujudnya ‘khabar angin’ pembubaran pasukan ini.
Tambahan pula, perubahan format liga pada musim terutamanya penambahan kuota pemain import pada musim hadapan semestinya menjadi salah sebuah cabaran utama buat pasukan yang tidak berbelanja besar seperti PJ City.
Terdahulu, difahamkan ada sebuah pasukan dari Liga M3 telah menyatakan hasrat untuk membeli saham kelab ini namun tiada sebarang perkhabaran baru mengenai perkara tersebut.
Hal ini disokong lagi dengan maklumat yang disampaikan oleh sumber dalaman kepada Harimau Malaya tentang jualan ‘jersi clearance’ yang sedang rancak dilakukan oleh PJ City bagi menghabiskan stok yang tidak terjual musim ini, di samping perunduran QNET sebagai penaja utama.
Kemungkinan besar ini menjadi salah satu petanda buat masa depan pasukan tersebut selain daripada ciapan-ciapan yang dikongsikan oleh beberapa pihak sejak kebelakangan ini.
Seandainya perkara ini benar-benar terjadi, sedih untuk kita lihat terkuburnya sebuah pasukan seperti PJ City yang tetap dengan pendirian #YakiniLokal mereka meskipun berhadapan dengan kelab-kelab seperti Johor Darul Ta’zim FC dan Selangor FC.
Lebih menyedihkan jika PJ City dibubarkan, pemain-pemain utama pasukan ini seperti Darren Lok, V Ruventhiran dan Kalamullah Al Hafiz perlu mencari kelab baru untuk meneruskan karier mereka selepas ini.
The Phoenix telah menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga kesembilan serta kecundang di pusingan 16 Piala Malaysia.