Isu gaji pemain Melaka United tidak akan terkubur begitu sahaja, sudah dibawa ke NDRC

695

Pasukan Melaka United sah tidak akan bertanding di saingan Liga Super musim depan ekoran daripada masalah tunggakan gaji yang berlarutan.

Meskipun begitu, kebajikan pemain yang terlibat dengan isu tersebut tidak akan terkubur begitu sahaja dan bakal diselesaikan melalui proses undang-undang sewajarnya.


Salah satunya adalah menerusi laporan kepada Majlis Penyelesaian Pertikaian Kebangsaan (NDRC) yang kini menjadi salah sebuah saluran yang telah dipilih untuk cuba menyelesaikan permasalahan ini.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Hj Rahman menerusi kenyataannya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali Keenam bagi Penggal 2021-25 yang diadakan di Wisma FAM.

“Untuk laporan daripada pemain Melaka United memang telah di bawa ke NDRC, saya rasa mereka bermesyuarat pada minggu lepas.

Ada lebih kurang 18 pemain yang melakukan aduan,”

katanya kepada media.

Berdasarkan mesyuarat yang dilakukan, Melaka United dikerah untuk segera menyelesaikan segala tunggakan gaji kepada semua pemain yang menjadi mangsa.

Musim ini sahaja, pasukan Melaka United terpalit beberapa kali dengan isu tunggakan gaji sebelum perkara tersebut memuncak pada penghujung saingan Liga Super.

“NDRC meminta pemain-pemain tersebut dibayar oleh Melaka United.”

NDRC telah diperkenalkan pada tahun 2019 bagi membela nasib pemain profesional tempatan yang terkesan dengan masalah seperti tunggakan gaji.