KOM jaga kebajikan atlet olahraga

498

Ada atlet negara tidak disambung kontrak dan bersara pada usia muda sehingga terpaksa menjual jambu di tepi jalan.

Malah, ada juga yang menjalankan perniagaan gunting rambut walaupun pernah menyumbang pingat emas di peringkat antarabangsa.


Ini antara isu yang perlu ditangani Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selepas beberapa atlet senior mahu bersara di pentas antarabangsa tahun depan.

Atlet 110 meter (m) lari berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian; Jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei dan pelari pecut wanita, Siti Fatimah Mohamad antara yang meluahkan hasrat untuk berehat daripada arena sukan.

Sumber Foto: Facebook

Masing-masing akan membuat penampilan terakhir pada temasya Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2022.

Timbalan Presiden KOM, Datuk Mumtaz Jaafar memberi jaminan bahawa kebajikan atlet akan dijaga meskipun selepas mereka bersara.

“Kami memberikan banyak pendedahan kepada atlet-atlet ini. Ada antara mereka didedahkan dengan ilmu kejurulatihan.

Sumber Foto: Facebook

“Rayzam dan Hup Wei contohnya sudah mula berjinak-jinak dengan program kejurulatihan. Ini penting jika dia bersara nanti, dia sudah ada kerjaya untuk diteruskan.

“Ini adalah masa yang terbaik untuk mereka menjadi jurulatih. Ilmu dan pengalaman yang diperoleh selama ini sangat berguna untuk membimbing atlet-atlet muda.

“Mereka kena bijak merancang masa depan. Banyak peluang disediakan untuk mereka. Mereka perlu ambil peluang itu,” katanya kepada Harimau Malaya.

Mumtaz berkata, kebanyakan atlet olahraga juga memperoleh kelulusan tinggi dalam pendidikan selain mempunyai pekerjaan tetap.

Ada antara mereka mendapat elaun tetap daripada majikan masing-masing.

“Isu kebajikan atlet ini sangat sensitif tetapi saya memberi keyakinan terutamanya kepada atlet-atlet muda negara bahawa masa depan mereka terjamin.

“Mereka tidak perlu risau selagi mereka tidak melanggar peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Selain itu, atlet-atlet olahraga yang bernaung di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) juga layak mendapat bantuan daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Ketika ini, Yakeb juga sangat aktif menjalankan tanggungjawab mereka untuk membantu bekas-bekas atlet yang terjejas akibat banjir yang melanda di beberapa kawasan sejak Jumaat lalu.

Usaha itu untuk membolehkan mereka menerima bantuan di bawah Skim Bantuan Khas.

Senario tiada pekerjaan tetap, pendapatan tidak menentu dan harapkan bantuan orang.

Begitulah realiti kehidupan sesetengah insan yang suatu masa dulu pernah menyarung jersi negara.

Ketika menjadi atlet dan berjaya mengharumkan nama negara dalam pelbagai temasya atau kejohanan, mereka ini dijulang serta dipuji.

Namun, jika mereka hidup melarat, bertukar pekerjaan, dibuang kerja dan akhrnya sakit tidak ramai yang peduli.

Kemudian terpaksa mengharapkan bantuan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Kebajikan Sosial Pekerja (Perkeso) sebagai sumber pendapatan.

Namun, Mumtaz yakin atlet olahraga tidak akan merasai kesusahan seperti itu.