Tiada masalah kalau Liga Super berjalan dengan 15 pasukan – Stuart Ramalingam

1,150

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam tidak melihat kekurangan sebuah pasukan dalam saingan Liga Super pada musim hadapan.

Stuart berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai khabar angin yang sedang bertiup kencang ketika ini mengenai pasukan PJ City FC yang dikatakan berkemungkinan besar akan menarik diri dari saingan liga tempatan.


“Pada masa ini saya masih belum mendapat sebarang maklumat rasmi mengenai penarikan diri PJ City tapi dalam perbincangan saya dengan CEO PJ City minggu lepas, beliau memberitahu bahawa kelab itu akan terus kekal. Kalau ada perubahan saya tunggu maklumat rasmi daripada pasukan PJ City.

Tiada masalah, apa beza 15 dengan 16 pasukan, hanya setiap minggu perlawanan sebuah pasukan akan berehat, jadi ia bukanlah satu isu besar,”

katanya.

Tambahnya lagi, pihak MFL tiada masalah untuk menjalankan liga dengan hanya 15 pasukan kerana ia hanya membabitkan perkara format sahaja.

Beliau juga mengakui menyedari dengan khabar angin mengenai sebuah lagi pasukan UiTM FC yang turut dikatakan akan menarik diri, namun sehingga kini perkara itu masih belum dapat disahkan.

Dalam pada itu, Stuart juga menegaskan bahawa tiada kelab dari saingan Liga M3 akan dinaikkan ke saingan Liga Super walaupun ada pasukan yang menarik diri.

“Liga kita bukan liga yang nak ganti dengan kelab amatur, kita tengok liga profesional kita adalah kestabilan pasukan yang bertanding. Kalau pasukan itu kena ada pasukan simpanan dan belia, pasukan dari AFL (Amateur Football League) belum ada struktur ini lagi. Jangan kita nak masukkan satu kelab tapi liga tak stabil.”

Jelasnya lagi, mana-mana kelab yang menarik diri adalah keputusan tertinggi kelab, tetapi liga akan stabil dengan adanya kelab yang lebih stabil dalam liga kita.