Papu Gomez bakal disenarai ke skuad Piala Dunia Argentina; Dion Cools atau Syihan pemain tempatan idaman JDT?

13,121

Menerusi kenyataan rasmi oleh Pengarah Teknikal Johor Darul Ta’zim FC, Alistair Edwards, JDT akan membawa masuk tiga pemain import dan seorang pemain tempatan untuk saingan musim 2023.

Perkara ini menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan peminat bola sepak tanah air, tetapi yang paling mencuri tumpuan adalah nama pemain yang bakal mewakili Argentina di Piala Dunia 2022, Papu Gomez.


Berdasarkan analisis, Papu dilihat berkemungkinan besar bakal dibawa oleh ketua jurulatih Argentina, Lional Scaloni ke kejohanan berprestij dunia yang bakal membuka tirai pada 21 November ini.

Perkara ini dilihat cukup baik kerana Papu merupakan pemain semasa yang memiliki potensi untuk beraksi di Qatar.

Berbanding dengan pemain import JDT terdahulu seperti Pablo Aimar, Luciano Figueroa dan Dani Guiza yang dibawa masuk setelah tidak lagi bersama pasukan kebangsaan.

Papu yang gemar beraksi di bahagian sayap kini bermain bersama pasukan Sepanyol, Sevilla dan sering menjadi antara pemain utama kelab tersebut.

Kemasukan Papu ke JDT dilihat akan menjadi realiti selepas pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor sendiri telah beberapa kali menyatakan keinginannya untuk membawa pemain lincah tersebut ke Liga Malaysia.

Selain Papu, antara pemain import lain yang dilihat berkemungkinan besar bakal mengisi dua lagi baki kuota adalah Endrick Dos Santos serta Manuel Hidalgo.

Endrick dikaitkan dengan kemasukan ke pasukan JDT setelah pasukan Harimau Selatan secara terbuka pada 2021 menyatakan keinginan mereka membawa pemain Pulau Pinang tersebut bagi saingan musim hadapan.

Lebih menarik, Endrick yang telah beraksi di Liga Malaysia sejak tahun 2018 sudah menghampiri syarat minima untuk dijadikan sebagai pemain naturalisasi.

Situasi ini akan memberi kelebihan besar buat pasukan JDT untuk membolehkan mereka menggunakan kuota import tersebut buat pemain lain.

Dalam pada itu, Hidalgo juga sering dikaitkan dengan JDT selepas beliau berjaya mencuri tumpuan menerusi kelincahannya di atas padang.

Keadaan terumbang ambing di Sri Pahang FC mungkin juga akan menjadi salah satu faktor utama yang akan mempengaruhi pemain muda berusia 23 tahun ini untuk berhijrah mencari pasukan yang lebih stabil.

Pada masa yang sama, peminat juga sedang tertanya-tanya tentang kemasukan seorang pemain tempatan yang bakal berhijrah ke JDT.

Sebelum ini, nama yang sering disebut adalah penjaga gawang Negeri Sembilan FC, Syihan Hazmi yang cemerlang bersama skuad Harimau Malaya.

Meskipun masih memiliki Farizal Marlias dan Haziq Nadzli, kehadiran Syihan bakal menambahkan lagi kekebalan benteng pertahanan pasukan ini.

Tambahan pula, Farizal akan mencecah umur 37 tahun tidak lama lagi dan dapat dilihat bahawa beliau tidak lagi berada di tahap terbaiknya seperti sebelum ini.

Namun, tidak boleh dilupakan bahawa sebelum ini TMJ seakan memberi petanda bahawa beliau akan membawa pertahanan kental negara, Dion Cools untuk bersama pasukan.

Cools yang kini beraksi Republik Czech bersama FK Jablonec dikhabarkan bakal menjadi antara muka baru JDT pada musim hadapan.

Spekulasi yang diperkatakan ini menambah keterujaan para peminat, namun tidak dapat dinafikan bahawa JDT akan terus menjadi kuasa besar bola sepak di Malaysia sekiranya perpindahan-perpindahan ini benar-benar terjadi.

Pada masa yang sama, JDT juga telah mengumumkan bakal membawa naik tiga orang pemain dari pasukan JDT II ke skuad utama.

Antara nama yang dilihat mempunyai kebarangkalian besar adalah Aysar Hadi, Daryl Sham dan Feroz Baharudin.

Ini kerana mereka telah berjaya membuktikan kemampuan di atas padang menerusi aksi-aksi memberangsangkan setiap kali diturunkan di skuad utama.

Ketiga-tiga mereka menjadi antara tonggak utama yang telah berjaya membantu skuad JDT II merangkul gelaran Liga Perdana musim ini.

Sementara itu, meskipun JDT telah mengumumkan bakal mengekalkan kesemua pemain utama pasukan, tidak mustahil sekiranya antara mereka bakal dipinjam keluar ke kelab-kelab lain.

Perkara ini pernah terjadi kepada penyerang, Syafiq Ahmad yang dihantar ke Kedah Darul Aman FC pada awal musim ini bagi mendapatkan minit permainan.

Jadi, untuk pemain yang tidak mendapat peluang yang kerap untuk beraksi seperti Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula, Junior Eldstal dan Akhyar Rashid, berkemungkinan besar pinjaman ke kelab lain akan menjadi solusi terbaik buat mereka mengekalkan pretasi serta bagi merebut tempat bersama skuad kebangsaan.