Penggunaan VAR dalam saingan liga domestik akan menyebabkan kos kelab meningkat naik – Stuart Ramalingam

280

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam memberitahu pelbagai perkara perlu diambil kira jika hendak mengimplementasikan penggunaan VAR (Video Assistant Referee) dalam saingan Liga Malaysia.

Stuart berkata, dengan situasi semasa yang mana kos pengurusan kelab akan meningkat naik susulan penstrukturan semula liga, beliau tidak melihat majoriti kelab mampu untuk mempunyai teknologi VAR kerana ia menelan kos sekitar RM4 hingga RM6 juta.


“Dekat sistem bola sepak di luar ada pelbagai sistem, ada yang ditanggung kelab, ada yang ditanggung oleh liga dan ada juga ditanggung oleh persatuan. Tetapi kita kena tengok kemampuan di peringkat tempatan yang mana penggunaan VAR akan menelan kos sekitar RM4 hingga RM6 juta.

Adakah situasi semasa membolehkan kita tekan kelab baru recover dari pandemik, baru recover dari penstrukturan liga, tambahan perlawanan dimana mereka perlu dana-dana untuk teruskan kestabilan. Nanti kita tekan mereka untuk bayar VAR, kemudian mereka tak mampu bayar gaji pemain kita tekan dan tekan lagi.

Ini perkara yang perlu kita lihat dan saya berpendapat kelab masih belum sedia lagi untuk bayar VAR,”

katanya.

Tambahnya lagi, antara faktor lain yang menjadi penghalang utama adalah majoriti pasukan bermain di stadium bukan milik kelab itu sendiri.

Selain itu, majoriti stadium di Malaysia juga tidak mempunyai infrastruktur untuk kelengkapan VAR dan perkara ini juga perlu diambil kira.

Baru-baru ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang meneliti semula penggunaan VAR dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia pada musim depan.

Penggunaan VAR untuk kedua-dua kejohanan ini berkemungkinan besar hanya akan digunakan pada perlawanan akhir.

Dalam pada itu, Stuart menyambut baik cadangan penggunaan VAR dalam saingan liga domestik, namun beliau juga mahu kualiti pengadil menjadi keutamaan.

“Adakah VAR jalan penyelesaian isu pengadilan? Sudah tentu tidak kerana di Liga Perdana Inggeris juga ada isu membabitkan VAR dan saya percaya di Piala Dunia nanti juga akan ada.

Saya percaya FAM sangat proaktif dalam isu peningkatan mutu pengadilan daripada pelaksanaan dan kajian VAR, tetapi juga program-program pemerkasaan pengadil. Saya yakin FAM akan pastikan kita mempunyai pengadil berkualiti.”

Stuart juga berharap dengan jumlah perlawanan yang banyak pada musim hadapan dapat meningkatkan kualiti pengadilan selari dengan transformasi yang dilakukan MFL.