Penghormatan! JDT jaga baik kebajikan bekas pemain dan jurulatih, jemput Persis Solo bertandang ke Johor

2,775

Pelawaan Johor Darul Ta’zim FC kepada kelab Liga 1 Indonesia, Persis Solo untuk melakukan kem latihan dan aksi persahabatan di Johor adalah keputusan yang patut dipuji.

Keputusan tersebut disampaikan menerusi laman media sosial rasmi Persis Solo yang memberitahu bahawa mereka telah menerima pelawaan bertarikh 4 November yang telah dihantar oleh Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards.


Selain daripada hadir untuk kem latihan serta persahabatan, Persis Solo juga memasang hasrat untuk belajar dengan lebih mendalam tentang kaedah dan cara pengurusan JDT dari segenap aspek seperti infrastrukur serta sistem akademi.

Peluang ini akan dapat digunakan oleh Persis Solo untuk terus meningkatkan mutu pasukan mereka dan menjadikan kejayaan yang berjaya diraih oleh JDT di rantau ini sebagai contoh.

Usaha ini jelas menunjukkan bahawa JDT ternyata banyak mengambil berat terhadap kebajikan individu-individu yang pernah menabur bakti buat kelab tersebut.

Seperti yang semua sedia maklum, penyerang Persis Solo, Fernando Rodriguez merupakan bekas pemain JDT II yang telah berpindah ke Indonesia pada bulan Ogos yang lalu.

Rodriguez merupakan antara penjaring gol terbanyak buat pasukan JDT II di dalam saingan Liga Perdana pada awal musim ini sebelum beliau berhijrah.

Selain Rodriguez, Leonardo Medina yang kini bergelar sebagai ketua jurulatih Persis Solo juga pernah berkhidmat di JDT sebagai pembantu jurulatih kepada Benjamin Mora.

Medina baru sahaja dilantik pada Oktober lalu bagi menggantikan bekas jurulatih, Jacksen F. Thiago yang dilepaskan ekoran daripada aksi kurang memuaskan yang diperaga oleh pasukan sepanjang saingan Liga 1 musim ini.

Peluang ke Johor ini dapat digunakan oleh para pemain Persis Solo untuk terus mengekalkan kecergasan mereka setelah aksi Liga 1 terpaksa ditunda ekoran daripada tragedi meragut nyawa yang berlaku di Kanjuruhan sebelum ini.

Persis Solo kini berada di kedudukan ke-14 liga selepas hanya berjaya mencatatkan satu kemenangan daripada 11 perlawanan.

Mengikut kenyataan yang dikongsi, kem latihan tersebut bakal berjalan daripada 9 hingga 18 November ini.

Ia juga akan menjadi aksi pemanas badan buat pasukan JDT selain daripada saingan Piala Malaysia sebelum para pemain menghadapi kelab gergasi Eropah, Borussia Dortmund dalam satu perlawanan persahabatan yang dijadual pada 28 November ini di Stadium Sultan Ibrahim.