Tan Cheng Hoe mahu lihat prestasi pemain sedia ada terlebih dahulu sebelum rancang ambil pemain baru
Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe memberitahu beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk ambil pemain baru lagi buat masa ini kerana mahu melihat prestasi pemain sedia ada terlebih dahulu.
“Saya masih lagi meneliti dan menganalisa pemain-pemain sedia ada perlukah kita tukar atau kekalkan kerana kalau kita lihat sepanjang perlawanan di bawah kendalian saya pemain-pemain nampak bersungguh-sungguh termasuk komitmen bersama pasukan.
Malah prestasi pemain juga meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan oleh sebab itu saya tidak mahu terburu-buru membuat keputusan awal tetapi kita akan menilai semula selepas kempen Piala Malaysia nanti,”
katanya.
Skuad Gergasi Merah akan bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi untuk menentang Negeri Sembilan FC dalam perlawanan suku akhir kedua pada 12 November ini.
Anak buah Cheng Hoe sudah selangkah untuk mara ke perlawanan separuh akhir selepas membenam skuad Jang Hobin 2-0 dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya baru-baru ini.
Dalam pada itu, pengendali berusia 54 tahun ini masih lagi belum memikirkan percaturan taktikal terbaik untuk perlawanan itu nanti lagi kerana mahu mencari ramuan terbaik untuk memastikan dapat mengekang kebangkitan anak buat K. Devan.
“Saya ada tempoh beberapa hari lagi latihan dan saya belum fikir taktikal yang terbaik menentang Negeri Sembilan nanti. Kita tahu mereka mempunyai kekuatan dalam serangan balas, set pieces mereka oleh sebab itu saya beritahu pemain supaya bijak untuk mengatasi situasi seperti itu.
Setiap tekanan dan serangan daripada pihak lawan kita kena serap dan sudah pasti jika kita berpeluang untuk melakukan serangan kita perlu dapatkan jaringan gol dan pemain tidak boleh sia-siakan peluang di hadapan pintu gol kerana tempoh hari kita terlepas deretan peluang.”
Beliau juga menuntut pemain-pemainnya untuk tampilkan aksi yang lebih konsisten untuk perlawanan kedua nanti.
Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai insiden pergaduhan antara peminat selepas tamat perlawanan suku akhir pertama baru-baru ini yang mana beliau berharap agar kedua-dua peminat bersikap lebih profesional.
Menurut Cheng Hoe, provokasi yang dilakukan hanya akan mendatangkan kesan negatif oleh itu beliau mahu peminat lebih terbuka dalam apa jua keadaan kerana lumrah bola sepak pasti akan ada pasukan yang menang dan kalah.