Al-Ikhsan Sports kini dalam perbincangan untuk sokong saingan Liga M3, M4 & M5

404

Tidak dapat dinafikan saingan Liga M3 pada musim ini telah mencetuskan fenomena di kalangan peminat bola sepak tempatan walaupun ia hanya liga amatur.

Kejayaan Liga M3 anjuran Amateur Football League (AFL) menyaksikan semakin ramai yang mula berminat untuk menyaksikan saingan liga amatur sekaligus merancakkan lagi saingan liga domestik yang sebelum ini didominasi oleh Liga Super dan Liga Perdana.


Menyedari potensi besar saingan liga amatur, jenama sukan tempatan terbesar di Malaysia, Al-Ikhsan Sports mengakui berminat untuk meneroka potensi baru.

“Kami sentiasa terbuka dan bercakap dengan banyak pihak tapi buat masa ini masih belum ada sebarang persetujuan, jadi saya pasti apabila ia sudah selesai kami pasti akan umumkan. Seperti yang saya cakapkan sebelum ini, kami sentiasa menyokong bola sepak tempatan.

Ketika ini kami sedang berbincang dengan pihak penganjur (AFL) untuk menyokong saingan Liga M3, M4 dan juga M5,”

 ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Al-Ikhsan Sports, Vach Pillutla kepada Harimau Malaya.

Al-Ikhsan adalah jenama sukan yang cukup sinonim dalam kalangan peminat bola sepak tanah air kerana mereka sudah lama terlibat dalam saingan Liga Malaysia apabila sudah menaja sekurang-kurangnya enam pasukan Liga Super.

Dalam pada itu, Pillutla juga berkata pihaknya juga terbuka untuk menaja kit bola sepak pasukan kebangsaan negara, Harimau Malaya sekiranya mendapat peluang tersebut.

Ketika ini skuad negara ditaja oleh jenama antarabangsa Nike sejak dari tahun 2007.

Terdahulu, beliau ditemui selepas majlis pelancaran kempen Festival Bola Sepak 2022 bagi meraikan musim Piala Dunia yang akan berlangsung di Doha, Qatar bermula pada 20 November ini.