Aidil Aziz harap saingan Liga Malaysia lebih kompetitif, tidak hanya didominasi oleh kelab tertentu

2,717

Pelakon tanah air, Aidil Aziz berharap agar selepas ini lebih banyak kelab yang bersaing di Liga Malaysia mampu mencapai tahap yang lebih baik untuk sama-sama memberi saingan.

Beliau melihat liga utama negara hanya didominasi oleh beberapa kelab tertentu sahaja dan gagal disaingi oleh pasukan lain yang berada di bawah.


“Saya mengharapkan bukan hanya beberapa kelab yang mendominasi saingan liga, saya mahu kelab-kelab lain sama tahap dengan kelab seperti JDT, Terengganu dan Selangor.

Sesuatu perlu dibuat supaya semua kelab dapat meningkat untuk lebih kompetitif, biar semua kelab mendominasi baru seronok untuk kita tengok bola,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain daripada bergiat di dalam dunia lakonan, Aidil merupakan antara pelakon yang juga aktif dalam bola sepak dan menjadikan sukan tersebut antara aktiviti utama bagi mengisi masa lapang.

Beliau bukan sahaja gemar bermain bola sepak malah mempunyai keupayaan kawalan bola yang baik dan telah terbukti selepas berjaya menarik minat sebuah kelab Liga M3 untuk membawa beliau menyertai mereka pada awal musim ini.

Namun, perkara tersebut tidak berjaya direalisasikan di atas berapa kekangan yang menjadi penghalang kepada Aidil.

“Sebenarnya sebelum itu saya bermain dekat Selangor Champions League dengan Klasiko FC dan mungkin kerana itu pasukan M3 tersebut tertarik untuk pelawa saya.

Tapi sayang kerana komitmen yang tidak dapat diberikan oleh saya menyebabkan perkara tersebut tidak menjadi kenyataan, tiada rezeki.”

Pada masa yang sama, beliau juga tidak bercadang untuk terlalu memberikan fokusnya kepada sukan bola sepak meskipun mendapat perhatian daripada beberapa kelab amatur.

Kekangan dan tanggungjawab kerjaya menjadi antara halangan utama untuk beliau memberikan fokus tambahan lagi umurnya yang sudah melebihi 30an.

“Sebenarnya tidak mudah untuk memberi komitmen terhadap bola sepak apabila ke arah lebih profesional.

Kita perlu memberi 110 peratus untuk fizikal dan mental, dengan komitmen kerjaya saya rasa memang tidak dapat untuk beri sebanyak itu untuk bola sepak.”

Aidil merupakan antara artis yang telah hadir untuk sama-sama memeriahkan Majlis Pelancaran World Football Festival yang diadakan oleh Al-Ikhsan di IOI City Mall.