Bekas jurulatih interim Kedah Darul Aman FC, Azzmi Ab Aziz kembali ke Liga Super musim depan

1,667

Mungkin ramai peminat bola sepak baru yang tidak mengetahui dengan figura bernama Azzmi Ab Aziz ini, namun bagi yang sudah lama mengikuti perkembangan bola sepak tanah air pastinya mengenai beliau.

Azzmi merupakan bekas pemain Selangor dan Perlis pada era 90an dan juga merupakan bekas pemain Harimau Malaya, sebelum mengambil keputusan untuk bersara dari karier sebagai pemain bola sepak profesional untuk beralih ke bidang kejurulatihan.


Nama beliau sebagai jurulatih meningkat naik selepas mengendalikan skuad Piala Presiden ATM (Angkatan Tentera Malaysia) yang mana beliau kemudian telah dilantik menjadi penolong ketua jurulatih untuk skuad Kedah Darul Aman FC (KDA) pada tahun 2017.

Bagaimanapun selepas ketua jurulatih, Nidzam Adzha melepaskan jawatan sebagai pengendali skuad Sang Kenari, Azzmi telah dilantik menjadi ketua jurulatih interim sebelum KDA melantik Aidil Sharin Sahak pada Oktober 2018.

Sejak meninggalkan gergasi utara itu, beliau masih aktif dalam bidang kejurulatihan dengan musim ini beliau membimbing skuad Piala Presiden dan skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Negeri Sembilan.

Kini setelah beberapa tahun ‘hilang’ dari liga utama, Azzmi bakal membuat kemunculan semula dalam saingan Liga Super pada musim depan bersama sebuah kelab.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan identiti kelab yang akan dibimbingnya kerana menghormati perjanjiannya dengan kelab.

Dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar juga memaklumkan bahawa pengumuman mengenai pelantikannya sebagai ketua jurulatih akan diumumkan pada awal bulan hadapan selepas pihak kelab selesai dengan proses menandatangani kontrak beberapa pemain.

Persoalannya kini adalah kelab manakah yang akan dikendalikan oleh Azzmi nanti? Ketika ini beberapa kelab mempunyai kekosongan untuk jawatan sebagai ketua jurulatih antaranya Kelantan FC, Penang FC, KDA, Sri Pahang FC dan beberapa lagi.

Namun tampak mustahil untuk beliau kembali ke Darul Aman kerana Sang Kenari dikatakan akan membawa masuk pengendali berprofil tinggi.

Peluang untuknya mengendalikan Kelantan tampak cerah berikutan pengendali ketika ini iaitu Rezal Zambery Yahya tidak dapat mengendalikan The Red Warriors pada musim hadapan berikutan tidak mempunyai lesen kejurulatihan Pro A, manakala Azzmi pula ada.

Selain itu, beberapa pasukan lain turut berpotensi menjadi destinasinya antaranya PDRM FC dan Kelantan United FC.

Apa pun sama-sama kita tunggu perkembangan terkini untuk melihat kelab manakah yang akan dikendalikan oleh Azzmi pada musim depan.