Aura luar biasa ketua jurulatih baru Malayan Tigress, Soleen Al-Zou’bi! Intan Serah berminat untuk kembali beraksi di bola sepak padang

1,928

Nampaknya bola sepak wanita negara bakal melalui proses revolusi yang baru apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah melantik Soleen Al-Zou’bi sebagai ketua jurulatih bola sepak wanita Malaysia baru-baru ini.

Pelantikan Soleen mendapat reaksi yang cukup positif daripada peminat termasuk pemain futsal wanita terkenal negara, Intan Serah yang teruja dengan langkah yang diambil oleh FAM dalam memperkasakan bola sepak wanita.


Malah beliau dalam reaksinya di media sosial juga berkata tidak sabar mahu bermain bola sepak padang di bawah kendalian Soleen.

Soleen akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih yang sebelum ini dikendalikan oleh Jacob Joseph.

Julai lalu skuad Malayan Tigress tersingkir awal dari saingan Piala AFF Wanita 2022 apabila berada di kedudukan kelima dalam Kumpulan A.

Kegagalan pasukan itu menjadi titik tolak kepada badan induk bola sepak negara untuk melakukan perubahan drastik bagi memastikan bola sepak wanita tidak ketinggalan kepada negara jiran seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan Vietnam.

Pengendali daripada Jordan itu mempunyai reputasi yang cukup baik malah pernah membawa skuad kebangsaan wanita Jordan B-17 layak ke Piala Dunia Wanita B-17 pada tahun 2016.

Bagi yang kurang mengenali dengan bekas pemain wanita skuad kebangsaan Jordan ini, beliau merupakan salah seorang yang berada dalam Jawatankuasa Bola Sepak Wanita AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) sejak 2019 dan bekas Teknikal Bola Sepak Wanita FIFA (Persekutan Bola Sepak Antarabangsa).

Dalam pada itu, pujian juga harus diberikan kepada Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin yang bertekad mahu mengubah landskap bola sepak wanita negara untuk lebih maju.

Tindakan ini selari dengan Roadmap: F30 yang mahu majukan bola sepak wanita yang sebelum ini sering dianaktirikan.

Pada tahun ini pembangunan bola sepak wanita meningkat naik dengan FAM memperkenalkan siangan Liga Wanita Nasional (LWN) sebagai tambahan kepada Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR).

Malah FAM juga akan dikatakan akan melakukan perubahan fotmat PTSR dan LWN supaya dapat melahirkan lebih ramai pemain bola sepak wanita muda berkualiti sekaligus dapat menghasilkan players pool yang banyak untuk dipilih untuk menyarung jersi negara.

Dengan segala perubahan dan penambahbaikan kepada bola sepak wanita ketika ini, kita mungkin tidak akan melihat lagi skuad negara dibarisi oleh pemain yang sama seperti sebelum ini yang mana ada pemain yang mewakili negara untuk bola padang dan juga futsal.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob turut melihat kehadiran Soleen akan melonjakkan bola sepak wanita di negara ini terutama dalam memastikan skuad bola sepak wanita kebangsaan dapat memberikan saingan terbaik di pentas antarabangsa.

Suraya dalam kenyataan media menyatakan Soleen bukan sahaja akan bertindak sebagai ketua jurulatih tetapi juga sebagai Ketua Unit Wanita FAM yang mana beliau akan merancang program-program berkaitan bola sepak di negara.

Soleen akan memulakan tugas sebagai ketua jurulatih skuad Malayan Tigress pada 1 Disember ini.