Gandingan kali terakhir Chan Peng Soon-Goh Liu Ying di Terbuka Malaysia mampu jadi realiti
Harapan peminat badminton negara untuk melihat gandingan beregu campuran yang pernah memenangi pingat perak di temasya Sukan Olimpik, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying buat kali terakhir di Terbuka Malaysia tahun hadapan mampu menjadi kenyataan.
Dengan peningkatan taraf Terbuka Malaysia menjadi sebuah acara Super 1000 selepas ini, hanya 32 pasangan teratas dunia sahaja yang akan layak untuk bertanding di kejohanan tersebut.
Meskipun telah berpisah pada tahun lepas, kedudukan ranking mereka pada ketika ini masih berada di kelompok 30 teratas dunia.
Mereka kini berada di kedudukan ke-22 dunia dan melihat kepada pasangan yang lain, Peng Soon-Liu Ying ada peluang cerah untuk tetap melayakkan diri sekiranya mereka mengambil keputusan untuk kembali berganding buat kali terakhir tahun hadapan sebelum persaraan masing-masing.
Ini kerana lawan yang berada di ranking atas daripada mereka ketika ini sudah beraksi dengan pasangan yang lain.
Sebagai contoh adalah gandingan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang sudah berpisah pada Ogos yang lalu.
Peng Soon-Liu Ying juga dilihat tiada masalah untuk dipintas kerana pasangan yang berada di tangga ke-25 dunia, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See juga tidak lagi bersama.
Namun segalanya tetap akan bergantung kepada transisi perubahan ranking yang sedang berlaku secara perlahan bermula Ogos lepas.
29 November akan menjadi tarikh akhir untuk kita melihat kedudukan akhir setiap pasangan untuk menentukan siapa yang bakal layak untuk bertanding di kejohanan yang dijadual pada 10 hingga 15 Januari tersebut.
Tambahan pula, kedua-dua pemain ini juga menyatakan keterbukaan mereka untuk kembali berganding sebagai ‘hadiah perpisahan’ terakhir sebelum masing-masing menamatkan karier.
Terdahulu, Liu Ying telah mengumumkan hasratnya untuk menjadi Terbuka Malaysia sebagai pentas terakhir beliau sebelum mengundurkan diri dari arena badminton dunia.
Manakala untuk Peng Soon, beliau baru sahaja mengambil keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersama pasangannya ketika ini, Yee See.
Terbuka Malaysia akan jadi peluang terbaik untuk para peminat badminton negara mengucapkan selamat tinggal kepada pemain yang telah berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa selama ini.
Tetapi, kita juga tidak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi untuk pasangan ini melangkah jauh di kejohanan tersebut memandangkan usia dan faktor kecergasan mereka yang dapat dilihat menjadi antara halangan utama pada beberapa kejohanan sebelum ini.
Pencapaian terbaik pasangan ini di Terbuka Malaysia adalah sewaktu muncul naib juara pada edisi 2013 dan 2016.
Selain merangkul pingat perak di Sukan Olimpik 2016, pasangan ini telah berjaya memenangi pelbagai kejuaraan termasuk meraih pingat emas di Sukan Komanwel dan Sukan SEA.
Mereka juga menjadi pasangan beregu campuran pertama dari Malaysia yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir All England sebelum tewas di tangan legenda Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir.
Tidak dapat dinafikan bahawa negara bakal merasai kehilangan mereka, namun kita juga kini memiliki kelompok pemain berkualiti yang cukup besar untuk menjadi penyambung legasi seterusnya di peringkat tertinggi.