Saddil Ramdani dalam dilemma, mahu kejar impian main di Eropah atau dengar kata ibu kekal di Sabah FC

1,615

Saingan Liga Malaysia bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi dengan ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat Sabah FC mengenai masa depan pemain kesayangan mereka, Saddil Ramdani, samada akan kekal bersama skuad itu atau tidak.

Ini kerana pemain kebangsaan Indonesia ini mendedahkan kepada sebuah portal sukan Indonesia telah pun mendapat satu tawaran daripada kelab di Austria, selain empat tawaran dari kelab dari Liga 1 Indonesia.


Semua sedia maklum Saddil sememangnya mahu melebarkan karier bola sepaknya di Eropah dan kini peluang itu sudah datang tapi beliau terpaksa memikirkan semula tawaran tersebut kerana tersepit di antara kerjaya dan keluarga.

Beliau berada dalam dilema ketika ini kerana ibu kepada pemain berusia 23 tahun itu, mahu Saddil kekal bersama kelab dari Borneo itu untuk musim depan.

Selain tawaran dari kelab Eropah dan Indonesia, pengurusan The Rhinos juga dikatakan juga sudah menawarkan kontrak lanjutan kerana mahu kekalkan beliau dalam pasukan.

Oleh itu, dalam tempoh terdekat ini, Saddil perlu membuat keputusan yang cukup sukar dalam hidupnya samada mahu mengejar impiannya untuk bermain di Eropah atau mendengar kata ibunya.

Saddil mempunyai tanggungjawab yang cukup besar apabila menjadi ketua keluarga selepas bapanya meninggal dunia.

Beliau bukan sahaja perlu menyara ibunya sahaja tetapi juga empat adik beradik yang masih bersekolah.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui berasa cukup selesa bersama Sabah kerana sikap profesional pihak pengurusan termasuk mempunyai hubungan baik seperti ayah dan anak dengan ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee.

Diharap Saddil dapat membuat keputusan terbaik bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga buat keluarganya kerana keluarga adalah tulang belakang kepada kejayaan yang dikecapinya ketika ini.