PJ City belum ada kata putus, takkan nak tunggu Pilihan Raya selesai baru umum sesuatu?

461

Susulan daripada khabar angin tentang pembubaran kelab PJ City, pihak pengurusan kelab tersebut masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi meskipun sudah banyak perkongsian yang dilakukan oleh pelbagai pihak di media sosial.

Peminat semestinya sedang menantikan perkara ini tatkala mereka ingin mengetahui masa depan serta hala tuju The Phoenix untuk saingan musim depan.


Terbaru, dikhabarkan sebuah pasukan Liga M3, Harini FT berminat untuk membeli and mengambil alih PJ City dan sedang melalui proses akhir pembelian.

Harini FT merupakan antara pasukan yang berjaya mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang kempen Liga M3 musim ini.

Daripada 18 perlawanan kumpulan, mereka berjaya mencatatkan 10 kemenangan dan hanya tiga kekalahan.

Namun, tidak ada kepastian tentang khabar angin ‘jual beli’ ini tatkala pihak pengurusan terutama sekali pemilik PJ City, S Ganesh yang lebih memilih untuk terus berdiam diri dan tidak mengeluarkan komen rasmi tentang situasi yang dihadapi oleh mereka pada ketika ini.

Perkara ini sebenarnya bukan sahaja ditunggu oleh para peminat semata-mata malah juga melibatkan barisan kejurulatihan serta pemain yang terjejas dengan keadaan semasa.

Ketua jurulatih, P. Maniam dikatakan telah menerima dua tawaran daripada pasukan Liga Malaysia iaitu Penang FC serta PDRM FC.

Buat masa ini, masih belum ada sebarang perkembangan terbaru tentang perkara tersebut memandangkan beliau sebelum ini menyatakan kesetiannya untuk kekal bersama pasukan PJ City.

Selain Maniam, kebanyakan pemain PJ City telah mula dipancing oleh beberapa kelab Liga M sejak berakhirnya kempen mereka musim selepas kecundang di tangan Johor Darul Ta’zim FC di pusingan 16 saingan Piala Malaysia.

Antara yang disebut-sebut adalah penjaga gawang utama, Kalamullah Al Hafiz yang dikaitkan dengan penghijrahan ke pasukan Kedah Darul Aman FC.

Selain Kalamullah, pemain seperti R. Kogileswaran, V. Ruventhiran, Darren Lok serta A. Shivan Pillay telah diintai oleh beberapa kelab seperti Sabah FC dan Perak FC.

Ini jelas menunjukkan betapa PJ City sebenarnya memiliki barisan pemain berkualiti yang mampu menarik minat daripada kelab-kelab lain.

Meskipun ibarat ‘telur di hujung tanduk’, jurulatih dan pemain ini tetap setia menunggu keputusan akhir yang bakal diperolehi mereka dalam masa terdekat berkemungkinan atas dasar cinta kepada kelab tersebut.

Tidak mustahil, pihak pengurusan PJ City sebenarnya sudah merancang untuk menunggu sehingga selesai Pilihan Raya Umum (PRU) 15 sebelum mengumumkan keputusan akhir secara rasmi kepada pihak media.

Walau bagaimanapun, besar harapan peminat untuk terus melihat kelab ini bersama falsafah #YakiniLokal mereka untuk kekal bersaing di saingan Liga Super musim depan.

Tanpa kehadiran pemain import, musim ini PJ City tetap berjaya menunjukkan prestasi yang baik dengan menduduki tangga kesembilan liga menerusi enam kemenangan dan lapan keputusan seri.

Satu pencapaian membanggakan sekiranya hendak dibandingkan dengan pasukan lain yang mempunyai ramai pemain import seperti Melaka United, Sarawak United serta Penang FC yang berada di tangga tiga terbawah.