Antara Malaysia dan Thailand, siapa paling cepat dapat capai sasaran 2026?

311

Dalam sukan bola sepak perkara paling penting adalah mempunyai perancangan jangka masa panjang bagi memastikan perkembangan bola sepak dapat memperlihatkan peningkatan dari semasa ke semasa.

Perancangan yang dibuat biasanya akan turut mempunyai hala tuju dan sasaran untuk dikecapi supaya tindakan proaktif dapat diambil untuk memastikan segala perancangan dan sasaran dapat dicapai dalam satu tempoh yang telah ditetapkan.


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga mempunyai perancangan dan sasaran apabila telah melancarkan Roadmap F:30 FAM pada tahun 2018.

FAM telah merangka pelbagai perancangan termasuk mensasarkan pasukan kebangsaan Malaysia menjadi lima negara terbaik Asia menjelang 2030.

Badan induk bola sepak negara telah meletakkan beberapa sasaran bagi tempoh 2020 hingga 2026 iaitu:

  • Layak ke Piala Asia 2023
  • Layak ke Sukan Olimpik 2020
  • Layak ke FIFA Piala Dunia B-20 2023
  • Layak ke FIFA Piala Dunia B-17 2023
  • Menduduki Top 100 FIFA Ranking pada 2026

Berdasarkan sasaran tersebut, Malaysia telah berjaya layak ke Piala Asia 2023 apabila menjadi naib johan kumpulan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 pada bulan Mei lalu sekaligus menamatkan kemarau 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit.

Malaysia menerusi skuad B-17 negara kini berpeluang untuk layak ke Piala Dunia B-17 2023 di Peru apabila skuad Harimau Muda telah berjaya layak ke Piala Asia B-17 yang akan berlangsung pada Mei 2023.

Untuk layak ke Piala Dunia B-17, skuad negara perlu layak ke separuh akhir untuk layak kerana empat pasukan terbaik di kejohanan Piala Asia B-17 2023 akan layak secara automatik ke Piala Dunia B-17.

Sasaran untuk menduduki di tangga Top 100 ranking pada tahun 2026 tampak sukar untuk dicapai dalam tempoh empat tahun lagi memandangkan Malaysia kini berada pada kedudukan ranking 146, namun dalam dunia bola sepak apa sahaja boleh berlaku maka peluang itu masih ada walaupun tipis.

Dalam lima sasaran FAM untuk tempoh 2020 hingga 2026, hanya dua sasaran sahaja yang tidak berjaya dikecapi iaitu layak ke Sukan Olimpik 2020 dan Piala Dunia B-20.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) turut mempunyai perancangan hampir sama apabila mereka melancarkan strategi pembangunan yang digelar sebagai The Master Plan.

Sasaran yang diletakkan untuk tempoh dari 2017 hingga 2026 tidak sebanyak Malaysia tetapi lebih sukar untuk dikecapi iaitu:

  • Menduduki Top 80 FIFA Ranking
  • Top 12 di Asia menjelang 2026
  • Layak ke Piala Dunia 2026

Walaupun sasaran yang diletakkan oleh FAT tampak sukar, namun ia tidak mustahil untuk dikecapi kerana semua sedia maklum dengan kualiti bola sepak Thailand yang semakin meningkat.

Malah pemain-pemain dari negara Gajah Perang itu juga kini sudah berjaya menarik perhatian kelab utama di Jepun, J-League seperti Chanathip Songkrasin yang beraksi untuk kelab gergasi Kawasaki Frontale; Supachok Sarachat bersama Consadole Sapporo dan banyak lagi.

Oleh itu sasaran untuk untuk berada di ranking Top 80 tidak mustahil untuk dicapai kerana mereka kini berada pada kedudukan 111 di dunia.

Manakala di peringkat Asia pula mereka kini berada pada kedudukan ke-21, maka sasaran untuk berada pada kedudukan Top 12 di Asia menjelang 2026 adalah sesuatu yang mampu dicapai oleh mereka.

Bagaimanapun sasaran untuk layak ke Piala Dunia 2026 tampak agak mustahil untuk dicapai kerana sehingga kini tiada lagi pasukan dari Asia Tenggara yang pernah layak ke Piala Dunia.

Tetapi dengan perubahan format yang bakal dilakukan dengan penambahan pasukan untuk Piala Dunia 2026 ditambah kepada 48 pasukan ia pasti akan membuka lebih ruang dan peluang untuk pasukan dari Asia Tenggara untuk layak.

Slot pasukan Asia yang sebelum ini diberikan empat sahaja akan ditambah kepada lapan slot termasuk slot tambahan menerusi play-off.

Dengan perubahan format Piala Dunia itu nanti bukan sahaja membolehkan pasukan Thailand merealisasikan sasaran mereka layak ke Piala Dunia, tetapi Malaysia juga mempunyai peluang yang sama sekiranya terus konsisten.

Persoalannya kini, di antara Malaysia dan Thailand, siapakah yang akan lebih cepat capai sasaran 2026? Sama-sama kita tunggu!