Sejak saya pegang MHC, kita sudah layak dua kali ke Piala Dunia – Dato’ Sri Subahan Kamal

241

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Dato’ Sri Subahan Kamal memberi khabar gembira buat pemain hoki negara Speedy Tigers apabila mereka bakal menerima imbuhan atas kejayaan mereka merangkul kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah semalam.

Kejayaan Speedy Tigers itu menyaksikan Malaysia berjaya menamatkan kemarau 39 tahun selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 dalam perlawanan akhir yang cukup sengit dan mendebarkan.


“InsyaAllah pasti ada imbuhan tapi saya tak boleh maklum lagi. Saya sebagai Presiden akan berbincang dengan ahli lembaga eksekutif untuk menghargai kemenangan pemain-pemain ini.

Saya juga kagum dengan pencapaian pasukan Speedy Tigers kerana setelah 39 tahun kejohanan itu telah diadakan kita juara. Tapi saya rasa ini adalah atas usaha keras jurulatih dan pemain-pemain yang sangat berdedikasi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Subahan juga mengakui menerima banyak ucapan tahniah daripada pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam pada itu, beliau berkata walaupun baru sahaja bergelar sebagai juara, anak buah A. Arulselvaraj hanya akan berehat selama sehari atau dua hari sahaja sebelum kembali turun menjalani latihan.

“Coach Arul ada beritahu saya mereka akan kembali turun berlatih pada hari Isnin depan untuk mempersiapkan pasukan untuk menghadapi kejohanan Nations Cup. Selepas habis kejohanan itu mereka akan berehat sekejap sebelum kembali persiapkan pasukan untuk Piala Dunia 2023.”

Skuad negara mempunyai tempoh seminggu lebih untuk membuat persiapan sebelum terbang ke Afrika Selatan bagi menghadapi kejohanan Nations Cup yang akan berlangsung dari 28 November hingga 4 Disember.

Selepas itu mereka akan meneruskan lagi persiapan bagi menghadapi kejohanan Piala Dunia 2023 yang akan berlangsung dari 13 Januari hingga 29 Januari 2023.

Sementara itu, Subahan juga berharap skuad skuad hoki negara dapat meneruskan rentak kecemerlangan ini supaya dapat layak ke Sukan Olimpik 2024 nanti.

“Sejak saya pegang MHC, kita sudah layak dua kali ke Piala Dunia, Piala Asia kita sudah dua kali layak ke separuh akhir, semua saya sudah dapat tapi untuk Sukan Olimpik kita perlu jadi juara Asia untuk layak.”

Oleh itu, beliau akan mengadakan satu mesyuarat bersama Ahli Lembaga Eksekutif Konfederasi Hoki Antarabangsa (FIH), Dato’ Tayyab Ikram untuk usulkan cadangan supaya FIH dapat memberikan lebih slot kepada pasukan Asia.

“Memang saya akan bawa isu ini kepada Dato’ Tayyab mohon kalau boleh pihak FIH akan pertimbangkan supaya dalam kelayakan Sukan Olimpik ini slot Asia diberi lebih dan bukannya satu atau dua. Mesti ada sistem kuota dimana pasukan dari Asia…mungkin dua atau tiga pasukan.””

Beliau juga berharap jumlah pasukan yang bersaing di Sukan Olimpik juga dinaikkan dari 12 kepada 16 pasukan.

Kali terakhir skuad hoki negara beraksi di Sukan Olimpik adalah 22 tahun lalu di Sydney pada tahun 2000.