Kalamullah akui kecewa dengan pengunduran PJ City, harap ada pihak yang sanggup ambil alih

528

Penjaga gawang utama PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz nyata gagal menahan kekecewaanya dengan keadaan semasa The Phoenix.

Qi Group telah mengumumkan pengunduran diri mereka daripada bersaing di Liga Super musim hadapan di atas faktor penambahan import dan perubahan format liga.


Perkara ini sedikit sebanyak merisaukan para pemain kelab tersebut memandangkan mereka perlu mencari kelab baru musim hadapan sekiranya kekal tiada pihak yang sanggup mengambil alih pasukan.

“Semua kecewa sebab kita sudah empat tahun bermain di Liga Super, bila pasukan tutup kita akan berfikir tentang pelbagai perkara seperti gaji, cari pasukan.

Itu yang buat jadi masalah untuk kami berfikir,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Meskipun baru diumumkan secara rasmi kepada media oleh barisan tertinggi pengurusan, perkhabaran ini sebenarnya telah sampai ke para pemain dan barisan staf jauh lebih awal.

“Kami diberitahu selepas perlawanan kedua Piala Malaysia menentang JDT mungkin pasukan ini akan tiada.

Sebelum Piala Malaysia bermula, kita cuma dengar khabar angin bahawa pasukan ini akan ditutup.”

Dalam pada itu, Qi Group masih terbuka untuk menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pihak untuk menggantikan mereka dengan syarat dapat mengekalkan nama PJ City.

Kalamullah melihat situasi ini sebagai perkara yang baik bagi memastikan pemain-pemain tempatan berkualiti di dalam pasukan tersebut dapat mengekalkan tempat mereka.

Beliau tidak menolak untuk kekal sekiranya perkara ini benar-benar terjadi memandangkan masih mempunyai baki kontrak bersama kelab.

“Saya tidak boleh bercakap apa-apa kerana saya masih ada baki setahun dengan PJ City, saya rasa ia adalah cadangan yang baik kalau ada pemilik baru sebab kita boleh bantu banyak pemain yang ada sekarang.”

Prinsip #YakiniLokal yang dipegang oleh PJ City membolehkan mereka menaikkan ramai pemain tempatan berkualiti serta beberapa prospek muda seperti V. Ruventhiran, Shivan Pillay dan Sunil Chandran.