Bye bye #YakiniLokal, P. Maniam kecewa dengan berita penarikan diri PJ City FC dari Liga Super 2023
Ketua jurulatih PJ City FC, P. Maniam mengakui berasa sangat kecewa apabila pemilik kelab Qi Group tidak mahu meneruskan perjuangan mereka di Liga Super pada musim hadapan.
“Saya sangat kecewa bukan sebagai jurulatih sahaja tetapi juga untuk pemain juga. Kerana PJ City telah menjadi platform untuk pemain-pemain tempatan dapat bermain dalam kesebelasan utama dan menunjukkan satu corak permainan yang cukup bagus.
Tahun 2021 kita kutip 24 mata manakala pada musim ini kita kutip 26 mata yang mana saya rasa prestasi kita meningkat dan banyak pemain telah diberi banyak peluang termasuk tiga pemain berjaya mewakili Malaysia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dibawah bimbingannya, pemain muda seperti V. Ruventhiran, Kalamullah Al-Hafiz dan Darren Lok berjaya mempamerkan aksi mantap sehingga berjaya diserap ke dalam skuad Harimau Malaya.
Terdahulu ketika sidang media oleh Presiden PJ City, Dato’ Sri Subahan Kamal telah memaklumkan bahawa perubahan format liga pada musim hadapan menjadi antara faktor utama barisan kepimpinan tertinggi Qi Group mengambil keputusan untuk menarik diri dari saingan Liga Super.
Malaysian Football League (MFL) sebelum ini telah mengumumkan penstrukturan liga termasuk menambah kuota pemain import.
Walaupun kecewa, P. Maniam turut mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Sri Vijay Eswaran, Dato’ Sri Subahan Kamal dan Ganesan Shanmugam yang telah menjadi individu terpenting dalam skuad The Phoenix.
Dalam pada itu, jurulatih berusia 54 tahun itu mengakui sudah dihubungi oleh beberapa kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya pada musim depan, namun tidak dapat dedahkan lagi butiran lanjut.
“Ada beberapa sudah hubungi saya tapi saya belum tandatangan lagi. Saya sedang membuat penilaian dan berbincang terlebih dahulu. Harap saya dapat peluang untuk terus kendalikan pasukan di Liga Super.”
Beliau juga berkata akan membawa beberapa pemain dari PJ City sekiranya dapat mengendalikan pasukan baru pada musim depan.
Antara pemain yang akan dibawanya adalah Mahali Jasuli, K. Gurusamy, Mohammad Raffi, Shivan Pillay, Khyril Muhymeen dan beberapa lagi.