Zamsaham seru peminat beli saham Kelantan FC jika mahu beliau berbelanja besar

2,199

Perjalan pasukan Kelantan FC di saingan Piala Malaysia sudah pun tamat apabila mereka tersingkir selepas tewas 5-0 pada perlawanan kedua suku akhir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim.

JDT berjaya menang dengan agregat yang cukup besar iaitu 8-0 selepas menang 3-0 pada perlawanan pertama sebelum ini.


Kekalahan itu sedikit pun tidak merisaukan pemilik skuad The Red Warrior iaitu Norizam Tukiman atau lebih mesra dengan panggilan Zamsaham yang berkata tiada apa yang hendak dimalukan apabila tumpas di tangan JDT.

Zamsaham dalam satu kenyataan di media sosialnya berkata tiada siapa mahu kalah, namun peminat perlu menerima kenyataan bahawa perbezaan kualiti termasuk beberapa tonggak utama mengalami kecederaan menjadi antara faktor mereka kalah besar.

“Pasukan lain pun kalah lebih teruk dari kita. Pemain utama kita cedera, Syed Sobri, Belfort, Nurshamil. Pemain bintang harapan kita iaitu Fadzrul dan Ikhwan Yazek juga tiada. Kita tahu level kita dimana untuk hari ini.

InsyaAllah kita perkemas dan perbaiki diri untuk musim 2023 nanti. Bukan alasan, saya akan cari jawapan,”

tulisnya.

Zamsaham juga menyeru peminat untuk membeli saham dan bantunya dari segi dana sekiranya mereka mahu kelab berbelanja besar untuk perkuatkan pasukan.

“Marilah beli saham dan berikan dana supaya saya boleh berbelanja besar. Saya janji untuk membawakan pemain bintang jika ada sponsor RM5 juta atau melabur pada kelab. Ada modal apapun boleh beli dan labur besar.”

Tambahnya lagi, beliau bukannya anak raja tetapi hanya orang biasa yang cintakan bola sepak dan jika mahu sesuatu perlu kerja siang dan malam untuk dapatkan apa yang dimahukannya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan peminat supaya bersikap rational kerana kelab itu sebelum ini sudah hampir terkubur dek masalah hutang, namun kini sudah semakin baik.

Jelasnya lagi, beliau juga kagum dengan pencapaian skuad kendalian Rezal Zambery Yahya yang berjaya bawa Kelantan untuk menjadi naib juara Liga Perdana musim ini walaupun pada awalnya ramai yang meragui kemampuan pasukan.

Untuk musim 2023, Kelantan akan kembali ke saingan Liga Super selepas empat tahun bersaing di Liga Perdana.