Selangor MAC bakal lantik ketua jurulatih baru untuk hadapi saingan MPFL musim depan

450

Juara bertahan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) musim ini Selangor MAC kini sedang rancak membuat persiapan bagi menghadapi musim 2023.

Terbaru Selangor MAC menerusi laman sosial Instagram milik mereka telah menyatakan mereka akan membawa masuk ketua jurulatih baru bagi menggantikan Carlos Alberto Aranha yang sebelum ini membawa pasukan itu ke kejohanan Piala AFF Futsal di Thailand.


Selangor MAC bagaimanapun belum lagi mendedahkan identiti ketua jurulatih baru mereka, namun rata-rata peminat memberi bayangan bahawa pengendali baru itu berkemungkinan besar berasal dari Brazil.

Gergasi futsal dari Lembah Klang ini tidak menunggu lama untuk membuat persiapan kerana mahu memastikan mereka akan kekal menguasai saingan liga futsal tempatan berikutan pada musim ini mereka adalah juara MPFL dan juga Piala Futsal Malaysia.

Saingan MPFL musim 2023 akan menyaksikan persaingan yang lebih kompetitif apabila beberapa perubahan baru telah dilakukan.

Antaranya adalah penglibatan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga kemasukan dua pemain import untuk memeriahkan lagi saingan MPFL pada musim depan iaitu satu kuota import terbuka dan satu kuota import Asia.

Pahang Rangers dijangka akan terus memberi saingan sengit kepada Selangor MAC, namun dengan kehadiran JDT dalam arena futsal, adakah mereka akan mempamerkan aksi cemerlang seperti skuad bola sepak padang atau sebaliknya.

Musim MPFL 2023 akan membuka tirainya bermula Februari hingga Julai dengan lapan pasukan terbaik liga akan layak kejohanan Piala Futsal Malaysia.