Ia sesuatu yang menakjubkan jika dapat mewakili Malaysia – Manuel Hidalgo

2,969

Pemain sensasi Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo mengakui akan berasa teruja sekiranya mendapat peluang untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia satu hari nanti, namun enggan terlalu fikirkan lagi buat masa.

Menurut Hidalgo, beliau yang baru sahaja bermain di Liga Malaysia memerlukan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun lagi sebelum berpeluang untuk menjadi pemain naturalisasi negara.


“Ia akan jadi sesuatu yang menakjubkan jika dapat mewakili sebuah pasukan besar seperti Malaysia, tapi saya perlu lebih masa sekurang-kurang dua tahun lebih sebelum boleh dinaturalisasi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hidalgo merupakan antara pemain yang menjadi sebutan peminat untuk menjadi pemain naturalisasi negara berikutan usianya yang masih muda iaitu 23 tahun.

Dalam pada itu, Hidalgo turut mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan beliau akan berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT), yang mana beliau sendiri mengakui tidak tahu mengenai perkara itu.

“Ya, saya ada dengar khabar angin itu tapi saya rasa ejen saya sedang mengendalikan perkara itu. Apa yang saya tahu saya sangat gembira berada di Sri Pahang ketika ini. Sejujurnya saya tidak tahu mengenai perkara ini.”

Beliau pada masa sama turut mengesahkan dirinya masih mempunyai kontrak selama setahun lagi bersama skuad Tok Gajah.

Tambahnya lagi, beliau juga ketika ini jarang berkomunikasi dengan ejennya kerana sudah memaklumkan kepada ejenya bahawa beliau kini sedang bercuti bersama keluarga dan enggan memikirkan soal kerjayanya buat masa ini.

Terdahulu, Sri Pahang memulakan kempen saingan Liga Super mereka dalam keadaan terumbang-ambing, namun mempamerkan kebangkitan luar biasa dan akhirnya berjaya menduduki tangga ke tujuh liga lapan kemenangan, empat seri dan 10 kekalahan.