Nasib Terengganu FC musim depan mungkin akan sama seperti nasib Kedah Darul Aman FC musim ini

1,798

Nampaknya kemelut dalam Terengganu FC semakin berpanjangan apabila ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain telah membuat pendedahan yang agak mengejutkan dalam sidang media selepas perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia semalam.

Dalam sidang media itu, Nafuzi telah mendedahkan bahawa beliau adalah jurulatih di Malaysia yang pertama mendapat surat tawaran lanjutan kontrak yang dihantar oleh kitman pasukan di padang latihan.


Nafuzi juga tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dengan sikap pengurusan Terengganu dengan berkata sebagai kelab profesional perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

Malah beliau juga kecewa apabila tiada sebarang pertemuan dilakukan antara dirinya dengan pihak pengurusan untuk persiapan dan hala tuju pasukan termasuk indeks prestasi utama (KPI) diletakkan tanpa berbincang dengannya.

Rata-rata peminat Sang Penyu nyata kecewa dengan kemelut yang berlaku di antara Nafuzi dan pengurusan pasukan kerana majoriti peminat mahu jurulatih berusia 44 tahun itu kekal di Kuala Terengganu pada musim hadapan.

Tidak keterlaluan jika hendak mengatakan situasi yang berlaku di Terengganu ketika ini berkemungkinan besar akan menyebabkan mereka akan berdepan masalah pada musim hadapan sama seperti yang berlaku pada Kedah Darul Aman FC (KDA) musim ini.

Walaupun masalah yang berlaku dalam kedua-dua pasukan ini berbeza, namun situasi yang berkemungkinan besar akan berlaku adalah hampir sama.

Mengambil contoh skuad Sang Kenari, pada musim 2021 mereka adalah sebuah skuad yang cukup mantap apabila berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua dan akan beraksi di pentas Piala AFC 2022.

Namun akibat rombakan besar-besaran yang dilakukan oleh kelab kononnya mahu melakukan penjimatan telah memakan diri apabila skuad kendalian Aidil Sharin Sahak ketika itu bergelut sepanjang musim dan menamatkan saingan Liga Super di tangga ke lapan musim ini, selain tersingkir di peringkat kalah mati Piala AFC.

Malah ketua jurulatih Aidil Sharin juga ambil keputusan untuk berpisah dengan KDA sebelum kejohanan Piala Malaysia bermula, dan KDA juga tersingkir awal dari kejohanan itu menjadikan musim 2022 adalah yang terburuk.

Berbalik pada Terengganu, dengan situasi semasa ini Nafuzi berkemungkinan besar tidak akan kekal kerana beliau juga sebelum ini sudah dikatakan mendapat tawaran daripada beberapa kelab lain.

Tambahan pula, terdapat pula khabar angin mengenai rombakan pemain juga akan berlaku pada musim hadapan apabila beberapa tonggak utama memberi bayangan akan meninggalkan pasukan itu pada hujung musim ini.

Jika perkara ini berlaku, Terengganu terpaksa ‘reset’ semula pasukan dan persoalannya kini mampukah mereka bina skuad ampuh seperti musim ini untuk menghadapi saingan musim hadapan yang mana mereka akan turut beraksi di pentas Piala AFC.

Ya, mungkin pengurusan Terengganu mempunyai bajet besar untuk membawa masuk pemain-pemain berkualiti dan berpengalaman, tetapi mampukah mereka mendapat keserasian dengan cepat untuk membentuk skuad mantap?

Agak merugikan apabila perkara seperti ini berlaku ketika pasukan berada pada tahap terbaik selain bakal menghadapi kejohanan cukup besar pada musim hadapan.

Apa pun sama-sama kita tunggu perkembangan terbaru untuk melihat apa yang akan berlaku pada Terengganu musim depan.