Selangor FC mungkin akan jadi penghalang buat Sabah FC untuk ke Piala AFC
Kehangatan Piala Malaysia terus dirasai peminat apabila empat pasukan sudah pun mengesahkan tempat ke separuh akhir iaitu Sabah FC, Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC dan juga Selangor FC.
Perlawanan separuh akhir nanti akan menyaksikan Sabah akan menentang JDT, manakala Terengganu pula akan bertemu dengan Selangor untuk mencari slot ke perlawanan akhir sekaligus mencerahkan peluang untuk layak ke Piala AFC pada musim depan.
Dalam empat pasukan ini, JDT sudah pun mengesahkan tempat mereka di kejohanan AFC Champions League (AFC), sementara Terenggu pula sudah pun layak ke Piala AFC.
Oleh itu, satu lagi slot Piala AFC kini menjadi rebutan di antara Sabah dan Selangor dengan kedua-dua pasukan sememangnya sudah menyasarkan untuk beraksi di pentas Asia pada musim hadapan.
Terdahulu, ketua jurulatih Sabah Datuk Ong Kim Swee menyuarakan ketidakpuasan hati apabila pihak Malaysian Football League (MFL) membuat perubahan di saat akhir apabila memaklumkan juara Piala Malaysia akan layak ke Piala AFC dan bukannya pasukan yang berada di tangga ke tiga liga.
Sabah sepatutnya sudah layak ke Piala AFC pada musim depan sekiranya tiada perubahan dibuat, namun disebabkan perubahan sudah dibuat mereka kini perlu merebut slot itu pada kejohanan Piala Malaysia.
Dalam pada itu, Selangor juga mempunyai misi besar dalam kempen kali ini untuk beraksi di pentas Asia dan peluang mereka untuk merealisasikan impian tersebut tampak semakin cerah sejak Tan Cheng Hoe mengambil alih pasukan itu September lalu.
Sejak dibawah kendalian Cheng Hoe, skuad Gergasi Merah belum pernah tewas lagi dan mereka dijangka akan terus bekerja keras untuk mengekalkan rekod tersebut sekaligus menamatkan musim ini lebih cemerlang.
Di antara Sabah dan Selangor, peluang skuad The Rhinos untuk ke Piala AFC lebih besar kerana mereka boleh layak dua cara iaitu menang Piala Malaysia, mengharapkan Selangor kandas di separuh akhir atau salah sebuah pasukan JDT atau Terengganu julang Piala Malaysia.
Ini kerana jika JDT atau Terengganu yang berjaya rangkul kejuaraan itu, slot Piala AFC secara automatik akan pergi kepada pasukan yang berada di tempat ketiga Liga Super dan Sabah merupakan pasukan itu.
Sementara itu, untuk Selangor pula mereka hanya mempunyai satu cara sahaja iaitu wajib menang Piala Malaysia jika hendak ke Piala AFC.
Melihat pada situasi ini tidak dapat dinafikan Sabah mempunyai peluang tetapi dalam dunia bola sepak apa sahaja boleh berlaku, oleh itu sama-sama kita lihat pasukan manakah yang akan layak ke Piala AFC musim depan.