Pasukan lain jaga-jaga, Kuching City ada potensi jadi ‘silent killer’ Liga Super 2023

831

Kempen Liga Malaysia musim 2022 telah berakhir buat pasukan Kuching City FC selepas mereka terkandas di pusingan suku akhir Piala Malaysia di tangan Sabah FC.

Sabah dipaksa berhempas pulas sehingga ke minit-minit akhir perlawanan sebelum mengesahkan kemaraan dengan kemenangan agregat 2-1.


Aksi memukau ini mengejutkan ramai peminat bola sepak negara yang nyata kagum dengan prestasi pemain-pemain Kuching City.

Terdahulu, mereka mara ke pusingan suku akhir selepas melakukan kejutan ke atas sebuah lagi pasukan Liga Super, Penang FC pada perlawanan pusingan 16 yang berakhor dengan keputusan agregat 4-3 berpihak kepada Kuching City.

Persembahan pemain Kuching City pada saingan Piala Malaysia musim ini perlu diberikan pujian tatkala mereka berjaya mempamerkan persembahan yang cukup memberansangkan.

Bahkan, untuk saingan Liga Perdana juga mereka merupakan antara kelab yang berjaya layak ke saingan Liga Super 2023 secara merit selain TRW Kelantan FC sebelum berlakunya perubahan format musim depan.

Musim ini mereka menamatkan perjuangan dalam saingan Liga Perdana di tangga ketiga hanya dibezakan tiga mata dengan pasukan di kedudukan kedua selepas berjaya mencatatkan 10 kemenangan daripada 18 perlawanan keseluruhan.

Import berbisa mereka, Abu Kamara menunjukkan ketajaman beliau di bahagian serangan selepas mencatatkan 11 gol musim ini.

Kamara juga terus menjadi antara tonggak utama skuad kendalian Irfan Bakti ini bagi saingan Piala Malaysia.

Selain Kamara, tidak dapat dinafikan kehadiran pemain tempatan berpengalaman seperti Joseph Kalang Tie sedikit sebanyak melengkapkan pasukan ini.

Pengalaman serta kualiti yang dimiliki Joseph dalam mengemudi bahagian tengah pasukan menjadi antara nadi utama kekuatan pasukan ini.

Selain itu, ada beberapa pemain muda tempatan yang berjaya membuktikan kredibiliti mereka di atas padang seperti Shafizi Iqmal.

Shafizi merupakan antara pemain muda Kuching City yang berjaya memperagakan aksi berkualiti sepanjang diturunkan musim ini.

Kualiti yang dimilikinya juga telah berjaya menarik perhatian jurulatih Perak FC, Lim Teong Kim yang dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat beliau musim depan.

Beliau sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa buah pasukan di saingan Liga Malaysia seperti Selango FC II dan Kelantan United FC.

Beliau juga pernah tersenarai untuk mewakili skuad B-18 dan B-19 negara suatu ketika dahulu bersama pemain muda lain seperti Hadi Fayyadh dan Nik Akif Syahiran dalam beberapa siri kejohanan AFC dan AFF.

Terbaru, ada beberapa pemain yang telah dikaitkan bakal berpindah masuk ke Kuching City bagi memperkuatkan lagi pasukan ini untuk menghadapi saingan liga musim depan yang jauh lebih mencabar.

Antara pemain yang disebut adalah penyerang legenda, Safee Sali yang bakal tamat kontrak bersama KL City FC pada penghujung bulan ini.

Pemain tengah Perak, Syahmim Yahya yang baru sahaja berpindah dari Melaka United pada awal tahun ini juga dikaitkan bakal menyertai pasukan Borneo ini.

Dengan pencapaian semasa ditambah dengan perubahan-perubahan yang bakal dibuat oleh ketua jurulatih sepanjang tempoh berehat ini, tidak mustahil Kuching City akan dapat melakukan kejutan musim depan.

Semua sedia maklum, Irfan merupakan antara jurulatih berpengalaman yang mampu menghasilkan skuad muda berkualiti.

Menurut penolong beliau, Sulaiman Hussin, Irfan boleh diibaratkan sebagai jelmaan Arsene Wenger versi Liga Malaysia.

Harapnya pasukan Kuching City dapat mengekalkan kecemerlangan mereka musim depan untuk tidak sekadar menjadi pasukan pelengkap liga semata-mata.