‘Buah hati’ boleh pujuk Rizal Ghazali kekal di Sabah, masa depan Baddrol terus jadi tanda tanya

19,821

Pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali tampak seperti akan kekal lebih lama di negeri tersebut setelah dilihat telah menemui ‘buah hati’ di sana.

Ini berdasarkan hantaran yang dilakukan oleh Rizal sendiri menerusi akaun Instagram beliau yang memperlihatkan kehadiran seorang wanita di sampingnya.


Wanita tersebut adalah Dr. Hana Rose yang juga merupakan seorang pakar dalam bidang kecantikan kulit serta memiliki klinik kepunyaannya di Kota Kinabalu.

Ibu kepada dua orang anak tersebut telah dinobatkan selaku Mrs Universe Borneo pada tahun 2019/2020.

Beliau dilahirkan di Amerika Syarikat namun dibesarkan di bandar Kyoto, Jepun terkenal dengan minatnya dalam menyampaikan kesedaran tentang kemanusiaan sejak beberapa tahun sebelum ini.

Dr. Hana juga baru-baru ini ada memuatnaik sebuah hantaran di laman Instagramnya yang memberi fokus kepada Rizal pada perlawanan menentang Kuching City pada pusingan suku akhir Piala Malaysia.

Tidak mustahil, perkhabaran gembira ini akan mempengaruhi keputusan pemain berusia 30 tahun tersebut untuk melanjutkan kontrak dan menetap lebih lama di negeri bawah bayu.  

Rizal yang baru sahaja menyertai Sabah pada Disember tahun lalu bakal tamat kontrak pada penghujung bulan ini.

Dengan pengalaman beliau selaku bekas pemain negara, Rizal dilihat masih menjadi antara pemain utama yang sering dipilih oleh ketua jurulatih bagi memperkukuhkan barisan pertahanan skuad Sang Badak musim ini.

Kebolehan beliau berman di beberapa posisi turut membantu Datuk Ong Kim Swee untuk merencana strategi yang lebih banyak berdasarkan kepada lawan yang akan mereka temui.

Selain boleh diletakkan di posisi pertahanan kanan, Rizal yang telah beraksi sebanyak 18 kali di Liga Super musim ini juga sering dimasukkan sebagai pemain tengah pasukan.

Rizal cukup terkenal dengan kebolehan beliau melakukan ‘overlapping’ dan ini akan membantu dalam usaha untuk terus memperkuatkan pasukan Sabah pada musim depan.

Berbeza dengan teman baik beliau, Baddrol Bakhtiar yang sehingga ke hari ini masih belum ada perkembangan terbaru terhadap masa depannya di Sabah.

Kontrak Baddrol juga bakal tamat pada 30 November ini selepas berakhirnya saingan Piala Malaysia bagi tahun 2022.

Ada khabar angin yang mengaitkan kepulangan beliau kembali bersama pasukan kesayangannya, Kedah Darul Aman FC pada musim depan.

Namun, tiada sebarang kepastian setakat ini selain daripada sekadar khabar angin yang bertiup kencang.

Peminat pasukan Sabah semestinya berharap agar khidmat Baddrol dapat terus ditagih pada musim depan selepas beliau berjaya menjadi antara ‘key player’ utama buat pasukan musim ini sehingga diberikan lilitan kapten.

Ketenangan pemain berusia 34 tahun tersebut mengemudi bahagian tengah Sabah berjaya membantu dalam menghasilkan gerakan-gerakan merbahaya dalam setiap perlawanan.

Malah, Baddrol juga cukup terkenal dengan ketajaman di hadapan gawang selepas berjaya muncul selaku penjaring terbanyak tempatan pada musim sebelum ini.

Bersama Sabah, Baddrol telah menjaringkan enam gol empat bantuan jaringan sepanjang 20 kali beraksi di saingan Liga Super.

Tidak kurang cemerlang di Piala Malaysia, Baddrol sudah berhasil mencatatkan dua jaringan sepanjang empat aksi.

Mungkin pihak pengurusan Sabah ingin menunggu Piala Malaysia selesai dahulu sebelum mengambil langkah seterusnya bagi mengekalkan pemain-pemain utama pasukan.

Atau mereka juga menantikan keputusan daripada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagi melihat sekiranya akan berlaku sebarang perubahan dari segi pimpinan tertinggi terutama sekali Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar.  

Sama-sama kita tunggu bah!

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen