Ayase Ueda dari Sukan Asia 2018 ke Piala Dunia 2022, apa nasib pemain skuad negara ketika itu?

1,784

Penyerang muda Jepun, Ayase Ueda merupakan salah seorang pemain yang turut beraksi di kejohanan Sukan Asia 2018 yang lalu.

Jaringan Ueda menerusi sepakan penalti pada minit ke-89 sewaktu menentang Malaysia pada ketika itu meranapkan impian skuad kebangsaan untuk mara ke pusingan suku akhir Sukan Asia.


Pada ketika itu, pasukan Malaysia dibarisi oleh pemain seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad dan Adam Nor Azlin.

Empat tahun berlalu, Ueda yang kini beraksi di Belgium bersama kelab Cercle Brugge terus mengorak langkah cemerlang di dalam kariernya selepas dipanggil untuk melengkapkan skuad Piala Dunia bagi negara Jepun.

Keputusan tersebut dilakukan oleh ketua jurulatih Samurai Blue, Hajime Moriyasu melihat kepada pencapaian Ueda bersama kelabnya.

Pemain berusia 24 tahun tersebut yang baru sahaja berpindah daripada kelab lamanya, Kashima Antlers pada Julai lalu telah berjaya menjaringkan tujuh gol daripada 17 penampilan setakat ini.

Terdahulu, beliau juga cemerlang di Liga J1 selepas menyumbat masuk 10 gol dan satu bantuan jaringan sepanjang 18 penampilan bersama Kashima Antlers bermula Februari tahun ini sehingga ke penghujung Jun.

Statistik ini cukup mennunjukkan kualiti yang dimiliki oleh pemain tersebut yang dilihat terus mengembangkan kebolehan beliau dalam tempoh yang begitu singkat.

Perkembangan ini dilihat sedikit berbeza jika hendak dibandingkan dengan pemain-pemain negara yang beraksi di Sukan Asia 2018 lalu.

Kesemua daripada mereka sekadar beraksi untuk pasukan tempatan dan pencapaian tertinggi hanya dicatatkan oleh Safawi ketika berjaya menarik minat kelab dari Portugal, Portimonense sebelum ini.

Safawi yang terkenal dengan kelincahan beliau telah menyertai kelab tersebut pada tahun 2020 sebelum kembali ke JDT beberapa bulan selepas itu.

Untuk skuad utama Portimonense, beliau telah disenaraikan di bangku simpanan sebanyak tiga kali namun tidak pernah diturunkan oleh ketua jurulatih pasukan ketika itu.

Namun bagi skuad B-23 Portimonense, Safawi telah diturunkan sekali selama 56 minit sewaktu aksi bertemu pasukan B-23 Sporting FC pada Oktober 2020.

Walaupun tidak menonjol seperti Ueda, pemain-pemain negara tetap mempamerkan kebangkitan tatkala kebanyakan mereka telah muncul sebagai juara bertahan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut bersama pasukan Johor Darul Ta’zim FC.

Kejayaan ini sedikit sebanyak menjulang pemain-pemain ini memandangkan pencapaian tersebut telah berjaya mengangkat JDT di tahap yang berbeza terutama sekali bagi rantau Asia Tenggara.

Selain itu, mereka juga berjaya mencipta sejarah selepas menjadi pasukan dari Malaysia pertama yang berjaya melayakkan diri sehingga ke pusingan kalah mati saingan AFC Champions League.

Situasi ini tetap menunjukkan peningkatan bagi pemain-pemain negara walaupun sedikit perlahan jika hendak dibandingkan dengan pemain dari Jepun dan Korea Selatan.

Walaupun begitu, tidak mustahil jika satu hari nanti bola sepak Malaysia akan turut sama berkembang pesat seperti gergasi-gergasi Asia yang lain.