Kejayaan membanggakan, Wan Kuzri dipilih kesebelasan utama kedua terbaik Mid-American Conference
Pemain muda kelahiran Malaysia-Amerika Syarikat, Wan Kuzri terus menarik perhatian selepas berjaya meraih kejayaan bersama pasukan semasanya, Akron Zips selaku pemain tengah.
Kualiti yang dipamerkan oleh Kuzri pada tahun ini membolehkan beliau dipilih sebagai antara kesebelasan utama terbaik bagi pasukan kedua bagi saingan bola sepak untuk kejohanan Mid-American Conference.
Ini merupakan antara kejayaan yang besar tatkala ia bukanlah sebuah perkara yang mudah untuk menempatkan diri di dalam senarai tersebut melihat kepada pemain-pemain lain yang turut beraksi.
Akron Zip merupakan sebuah pasukan yang mewakili Universiti Akron dan merupakan salah sebuah pasukan yang berada di kedudukan 10 teratas bagi saingan bola sepak.
Kuzri telah menjadi salah seorang pemain utama buat pasukan ini yang juga merupakan pilihan utama bagi kejohanan bola sepak divisyen lelaki I NCAA.
Beliau terlah beraksi sebanyak 1,214 minit sepanjang musim ini serta berjaya menjaringkan satu gol dan menghasilkan tujuh bantuan jaringan.
Akron Zip berjaya menjadi pendahulu liga untuk mengatasi pasukan lain seperti Cleveland State, Bowling Green dan Chicago State.
Ini menunjukkan betapa Kuzri sebenarnya memiliki kualiti permainan yang cukup baik dan mampu menjadi prospek besar untuk bola sepak negara.
Namun, difahamkan sebelum ini Kuzri bersama abangnya, Wan Kuzain sedang mengintai peluang untuk beraksi bersama negara lain memandangkan mereka belum diberi peluang untuk mewakili Malaysia sehingga ke hari ini.
Terdahulu, Kuzri telah dipanggil oleh bekas ketua jurulatih muda negara, Brad Maloney pada tahun 2020 untuk bersama skuad B-19 negara di kejohanan Piala AFC B-19 pada ketika itu.
Beliau juga telah sekali lagi dipanggil oleh Maloney bagi menyertai latihan pusat skuad B-23 negara pada awal tahun inj bagi persiapan ke kejohanan B-23 negara.
Tetapi, beliau tidak dibawa atas sebab masalah-masalah yang tidak dapat diselesaikan sama seperti ketika digugurkan untuk Piala AFF B-23 di Kemboja Februari lalu.
Harapnya untuk masa depan, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mencapai kata putus dengan pihak keluarga Kuzri dan Kuzain bagi membolehkan mereka segera mewakili negara.
Kualiti kedua-dua pemain ini terutama Kuzri yang baru mencapai usia 20 tahun mampu menjadi aset buat skuad negara untuk tempoh masa yang lebih panjang.
Pada masa yang sama, beliau juga perlu menunjukkan komitmen serta kesungguhan untuk mewakili negara dengan kesediaan untuk melepaskan kewarganegaraan Amerika Syarikat bagi memudahkan proses dokumentasi dapat diselesaikan.
Semoga segala proses berjalan lancar dan kita dapat melihat pemain ini menyarung jersi Harimau Malaya dalam masa terdekat.