Cheng Hoe enggan anggap masalah dalaman TFC sebagai satu kelebihan, sedar kekuatan pasukan lawan

542

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe ingin kesemua pemain pasukannya untuk terus bersedia bagi menghadapi saingan seterusnya di pusingan separuh akhir Piala Malaysia selepas ini bertemu Terengganu FC.

Tambahan pula, lawan mereka tersebut merupakan salah sebuah pasukan yang mempunyai rekod yang agak baik di bawah kendalian ketua jurulatih, Nafuzi Zain.


“Memang satu perlawanan yang sukar di separuh akhir menentang Terengganu, kita tahu Terengganu ada rekod dan berada di landasan yang terbaik.

Dalam 13 atau 14 perlawanan, mereka cuma kalah di Piala FA sahaja menentang JDT, pemain perlu bersedia untuk menghadapi keserasian pemain Terengganu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Cheng Hoe juga tidak ingin merasa selesa meskipun Terengganu FC kini sedang berhadapan dengan masalah dalaman berkenaan status kontrak jurulatih mereka.

Terdahulu, ketua jurulatih muda tersebut dilihat seakan nghadapi sedikit salah faham dengan pihak pengurusan pasukan.

Keadaan tersebut bertambah gawat selepas kedua-dua pihak memberikan kenyataan secara terbuka kepada media bagi menerangkan situasi masing-masing.

“Bagi saya itu bukan satu masalah yang penting pemain tahu tugasan mereka untuk perlawanan separuh akhir ini kerana semua pemain mahu layak ke pentas akhir.

Saya tidak anggap masalah itu sebagai satu kelebihan untuk pasukan kita.”

Pasukan Selangor FC perlu meneruskan rentak kecemerlangan mereka pada aksi separuh akhir pertama yang dijadual para 16 November ini di Stadium MBPJ.

Cheng Hoe perlu merencana strategi bagi membolehkan anak buahnya menyekat kemaraan pemain-pemain Terengganu FC daripada menyerang.

Tambahan pula, mereka bakal kehilangan tonggak pertahanan utama, Yazan Al-Arab yang terpaksa meninggalkan latihan untuk menggalas tanggungjawab bersama negaranya, Jordan.

“Saya gembira dengan keadaan semua pemain cuma kurang baik kerana kita terpaksa lepaskan Yazan untuk tugasan skuad kebangsaan.

Itu sedikit sebanyak akan jejaskan, kita harapkan beliau berada di tahap terbaik sekembalinya dari tugasan kebangsaan nanti.”

Setakat ini, Cheng Hoe cemerlang mengendalikan pasukan Selangor FC selepas mencatatkan rekod bersih tanpa sebarang kekalahan daripada lapan perlawanan.