Cheng Hoe tidak ingin beri komen tentang Khuzaimi, serahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan

845

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe buat masa ini tidak ingin memberi sebarang komen terhadap khabar angin pemain yang dikaitkan dengan pasukannya musim depan.

Pemain yang kuat dikatakan bakal menyertai Selangor adalah pertahanan kental Negeri Sembilan FC, Khuzaimi Piee yang telan menamatkan saingan Liga Malaysia musim ini selepas terkandas di pusingan suku akhir Piala Malaysia.


“Itu saya tidak mahu komen, saya cuma fokus kepada perlawanan separuh akhir menentang Terengganu.

Yang lain adalah di antara pengurusan dengan pemain tersebut, saya tidak pasti.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau pada ketika ini cukup gembira dengan sokongan tidak pernah putus yang disalurkan oleh pemilik kelab, Raja Muda Selangor (RMS) sejak beliau dilantik sebagai ketua jurulatih pada 24 September lalu.

“Tuanku RMS tidak memberi tekanan tetapi sebagai jurulatih kita ada motivasi tersendiri untuk bawa pasukan.

Saya sudah menandatangani kontrak selama dua tahun dan kita harap satu pencapaian dari semua untuk dapatkan keputusan yang terbaik di masa akan datang nanti.”

Pengendali berusia 54 tahun tersebut menyedari harapan dan sasaran tinggi yang diletakkan kepadanya bukan sahaja oleh pihak pengurusan malah di kalangan peminat setia pasukan Selangor FC.

Namun, beliau setakat ini dilihat berjaya menyerap segala tekanan yang diberikan oleh kesemua pihak.

“Bagi saya transformasi adalah sebahagian daripada tugas saya sebagai jurulatih, saya masih mengharapkan pemain dapat tingkatkan prestasi dalam latihan dan perlawanan.

Benchmark sebagai jurulatih Selangor memang tinggi, secara peribadi saya mahu pemain ada di satu tahap yang terbaik.”