Bernd Storck dikait bakal jadi jurulatih baru KV Kortrijk, petanda baik buat Luqman Hakim

2,156

Kelab Belgium, KV Kortrijk baru sahaja mengumumkan penamatan kontrak ketua jurulatih, Adnan Gustovic selepas pasukan tersebut mempamerkan aksi kurang memberangsangkan pada saingan Jupiler Pro League ketika ini.

Keputusan tersebut dilakukan selepas pasukan ini mencatatkan satu lagi kekalahan memalukan di tangan kelab di tangga kelima liga, K.A.A Gent dengan keputusan 4-0.


Pada masa ini, mereka berada di kedudukan kedua terakhir selepas sekadar mencatatkan tiga kemenangan dan 11 kekalahan daripada 17 perlawanan.

Susulan pemecatan tersebut, KV Kortrijk kini difahamkan bakal membawa masuk ketua jurulatih baru, Bernd Storck bagi memperbaiki kedudukan semasa untuk berada di kedudukan yang lebih baik pada musim ini.

Storck merupakan jurulatih berasal daripada Jerman yang memiliki pengalaman luas menjadi pembantu di beberapa kelah ternama Eropah seperti Borussia Dortmund pada tahun 2006 serta VFL Wolfsburg tiga tahun sebelum itu.

Malah beliau juga cukup dikenali di dalam saingan liga Belgium berdasarkan pencapaian terdahulunya menjadi pengurus untuk tiga kelab iaitu Cercle Brugge, KRC Genk dan terakhir adalah KAS Eupen sebelum dilepaskan pada Oktober lalu.  

Storck cukup terkenal dengan prinsip beliau dalam menggunakan khidmat pemain muda bagi memperkuatkan pasukan bimbingannya.

Jika kemasukan Storck ke KV Kortrijk menjadi kenyataan, besar peluang untuk kita dapat melihat pemain muda negara, Luqman Hakim memperoleh tempat yang selama ini dinanti-nantikan oleh beliau serta seluruh peminat bola sepak Malaysia.

Semestinya Storck akan melihat kepada pemain-pemain B-21 kelab tersebut bagi mencari penambahan kepada skuad utama mereka yang mampu memberi impak serta mengubah keadaan semasa pasukan yang semakin merudum.

Ketika ini, Luqman dilihat berjaya menjadi antara pemain utama skuad B-21 kelab tersebut selepas beberapa kali diturunkan.

Terbaru, beliau telah beraksi selama 85 minit di dalam saingan Liga Pro B-21 sewaktu menentang pasukan Lierse Kempenzonen pada awal bulan ini.

Beliau juga telah disenaraikan di dalam skuad bagi pertemuan menentang pasukan B-21 Zulte Veregem yang akan berlangsung pada hari ini.

Luqman juga telah berhasil menunjukkan prestasi menakjubkan setiap kali diturunkan menerusi beberapa jaringan yang berjaya dicatatkan sebelum ini.

Terdahulu, aksi penyudah Luqman berkualiti ditambah dengan larian bola penuh keyakinan di dalam perlawanan menentang Royal Excelsior B-21 pada September lalu mendapat perhatian daripada orang ramai.

Tidak mustahil dengan kemasukan Storck, Luqman akan akhirnya berjaya mendapat tempat tetap di dalam pasukan setelah sabar menanti peluang daripada dua bekas jurulatih skuad utama musim ini iaitu Adnan serta Karim Belhocine yang dilepaskan pada Ogos lalu.

Sepanjang di bawah bimbingan Adnan, Luqman hanya memperoleh satu peluang untuk beraksi dengan skuad senior sewaktu aksi menentang KVC Westerlo.

Dengan kualiti sedia ada pada pemain tersebut, peluang untuk lebih kerap beraksi di saingan kompetitif seperti Jupiler Pro League akan membantu beliau untuk membuktikan kemampuannya yang sebenar.