B. Sathianathan lihat jurulatih tempatan terus dianaktirikan, jurulatih luar kekal dijulang
Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan melihat pelatih tempatan dianaktirikan dan dipinggirkan meskipun memiliki pencapaian yang jauh lebih membanggakan daripada jurulatih luar negara, sekurang-kurangnya musim ini.
Hal ini berdasarkan isu terkini yang berlaku di antara ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain yang memiliki salah faham dengan pihak pengurusan pasukan.
Meskipun dikatakan telah menerima tawaran pasukan lain lebih awal, tindakan pengurusan untuk sekadar menawarkan lanjutan kontrak setahun kepada Nafuzi dilihat sebagai tidak masuk akal oleh Sathianathan berdasarkan pencapaian yang berjaya diraih oleh jurulatih tersebut.
Bekas pemain Kedah, Azmeer Yusof turut meluahkan kekecewaan terhadap proses penyambungan kontrak jurulatih dan pemain yang berlaku di Liga Malaysia.
Kebanyakan jurulatih dan pemain terpaksa menunggu sehingga ke minit akhir untuk mengetahui samada pasukan semasa mereka bakal menawarkan kontrak lanjutan atau tidak.
Perkara ini yang juga kadang-kadang menyebabkan berlakunya perjanjian ‘pintu belakang’ selepas pasukan lain membuat tawaran jauh lebih awal dan menguntungkan.
Sepatutnya, dengan kejayaan menjadi naib juara Liga Super dan Piala FA serta layak ke separuh akhir Piala Malaysia, Nafuzi berhak mendapatkan layanan dan tawaran yang jauh lebih baik terutama sekali daripada kelab profesional seperti Terengganu.
Perkara ini jelas membuktikan bahawa pengurusan kelab setelah sekian lama terus mengagungkan jurulatih atau pengarah teknikal luar yang jelas menerima layanan umpama seorang ‘raja’ walhal rekod mereka tidak sebaik bakat tempatan.
Ini termasuk jumlah bayaran gaji yang diperolehi oleh jurulatih-jurulatih lokal yang jauh lebih rendah daripada kelompok pelatih dari luar negara.
Lebih menyedihkan, ada beberapa jurulatih luar negara yang seakan-akan menjadi boneka dan tidak memberi kesan langsung terhadap membimbing pasukan ke arah lebih baik.
Sebagai contoh, Terengganu FC, Sabah FC serta Negeri Sembilan FC berjaya menempatkan diri mereka di kelompok empat teratas Liga Super walaupun dilatih oleh jurulatih tempatan.
Pencapaian ini adalah jauh lebih baik jika hendak dibandingkan dengan pasukan lain seperti Sri Pahang FC yang pada awalnya dilatih oleh Christophe Gamel sebelum diserahkan kepada Dato’ Dollah Salleh ekoran prestasi yang teruk.
Kedah Darul Aman FC mendapatkan khidmat jurulatih dari Singapura, Aidil Sharin dan mereka sekadar menamatkan saingan musim ini di tangga kelapan serta kecundang lebih awal di saingan Piala AFC 2022.
Ketika ini, tiga daripada empat semi-finalists untuk saingan Piala Malaysia adalah dilatih oleh jurulatih tempatan seperti Tan Cheng Hoe, Datuk Ong Kim Swee selain Nafuzi.
Harapnya perkara-perkara seperti ini akan menjadi fokus utama pertimbangan setiap pengurusan pasukan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
Hargai bakat jurulatih tempatan yang terbukti adalah jauh lebih baik daripada berharap kepada kemasukan individu daripada luar negara yang hanya datang tanpa sebarang pencapaian.
Jurulatih-jurulatih luar yang dipilih ini juga perlulah seseorang yang mampu menunjukkan contoh baik terutama sekali dalam memberi tunjuk ajar kepada pelatih tempatan.
Seperti apa yang dilakukan oleh ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak dalam menurunkan ilmu beliau kepada bekas pemain yang menjadi penolong jurulatih, seperti Shukor Adan.
Disebabkan itu, Bojan merupakan antara jurulatih dari luar negara yang berjaya kekal berada di Malaysia untuk tempoh yang lama dengan pencapaian yang membuktikan kredibiliti dimiliki olehnya.