Apa yang paling utama buat saya ialah Negara Malaysia! Datuk Haji Hamidin sememangnya Bapa bola sepak moden Malaysia

150

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin berjaya dipilih menjadi salah seorang Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) bagi penggal 2022-2026.

Perkara ini disahkan pada Kongres Biasa AFF kali ke-29 yang telah diadakan di Siem Reap, Kemboja.


Kejayaan Hamidin ini dapat menjadi teladan yang baik tatkala bola sepak negara tahun ini berjaya mempamerkan kebangkitan menakjubkan di bawah kepimpinan beliau selaku Presiden FAM.

Keputusan beliau membawa masuk ketua jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon serta barisan kejurulatihannya membuahkan hasil selepas skuad utama negara berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia yang bakal berlangsung di Qatar.

Selain itu, skuad B-17 negara di bawah kendalian Osmera Omaro juga berjaya memperoleh slot ke Piala Asia B-17 Mei depan selepas cemerlang di pusingan kelayakan.

Kejayaan-kejayaan ini mengangkat Malaysia untuk terus menjadi salah sebuah negara gergasi bola sepak di rantau Asia Tenggara.

Hamidin diangkat menjadi Ahli Majlis bersama empat lagi individu daripada negara lain seperti Chris Nikou yang mewakili Australia, Thanasak Suraprasert dari Thailand, Viphet Sihachakr untuk Laos dan Ko Ko Thein selaku wakil Myanmar.

Dengan kejayaan ini, diharap agar ia akan dapat menjadi titik permulaan kepada beliau untuk meraih jawatan yang lebih hebat di arena bola sepak dunia.

Salah satunya adalah selaku Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagaimana yang telah dicalonkan menerusi pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) penggal 2023-2027.

Sekiranya berjaya dilantik menyertai FIFA, ia akan memberi keuntungan besar kepada Malaysia dalam meluaskan lagi rangkaian serta menambah dana yang diperlukan bagi menyokong pembangunan bola sepak wanita.

Usaha dalam meningkatkan kualiti dan penerimaan terhadap bola sepak wanita merupakan salah satu fokus utama Hamidin sepanjang beliau memimpin FAM.

Kini, FAM telah bersetuju untuk membawa masuk ketua jurulatih skuad wanita yang baru, Soleen Al-Zoubi yang dilantik dari Jordan.

Hamidin akan menjadi penerus legasi yang pernah dicapai oleh beberapa wakil Malaysia terdahulu seperti legenda Negeri Sembilan, mendiang Lim Kee Siong yang menjadi tokoh pertama dari negara ini yang berjaya memperoleh tempat di badan induk dunia tersebut.

Semoga beliau terus berjaya membawa nama negara ke peringkat yang lebih tinggi. Syabas Datuk!