Anak legenda badminton negara mula tunjuk minat, mampu jadi penerus legasi

593

Anak kepada legenda badminton negara, Datuk Foo Kok Keong dan Roslin Hashim sudah mula menunjukkan minat mereka dalam mengikut jejak langkah bapa.

Terbaru, anak kepada Kok Keong, Foo Hao Yu baru sahaja meraih tempat kedua di dalam kejohanan OUG Junior 2022 bagi kategori B-10.


Hao Yu yang menyertai Tactical Badminton Club di Kuala Lumpur kini dilatih oleh bekas pemain badminton, Andrew Chang.

Pada masa yang sama, anak kepada bekas pemain No. 1 dunia, Roslin juga turut sama-sama menyertai kejohanan tersebut namun terkandas di pusingan kedua.

Anak beliau, Adam Rayyan telah menunjukkan peningkatan yang baik sepanjang menjalani latihan bersama jurulatih dari Indonesia, Moro Asmoro.

Meskipun masih terlalu muda, langkah pertama seperti inilah yang akan terus menyokong pembangunan mereka selaku pemain badminton ternama satu hari nanti untuk mengulang semula kejayaan orang tua mereka di pentas antarabangsa.

Selain dua pemain ini, seorang lagi legenda negara, Datuk Wira Lee Chong Wei juga turut dilihat memiliki dua cahaya mata lelaki yang mampu menjadi penerus kepada legasi yang pernah dicapai oleh beliau.

Kingston Lee dan Terrance Lee sudah mula menunjukkan minat dan taring mereka terhadap sukan tersebut berdasarkan hantaran yang sering dilakukan oleh Chong Wei serta isterinya, Datin Wong Mew Choo menerusi laman media sosial mereka.

Kedua-dua pemain cilik ini tidak perlu terlalu risau tentang latihan dan sebagainya kerana ibu bapa mereka merupakan antara pemain yang terbukti cemerlang sepanjang karier mereka sebagai bekas perseorangan lelaki dan wanita No.1 negara.

Ketika ini, ada beberapa anak bekas pemain sudah menyertai dan bermain bagi mewakili Persatuan Badminton Malaysia (BAM) seperti Fazriq Razif yang merupakan anak kepada bekas pemain beregu negara, Datuk Razif Sidek.

Mengikut jejak langkah bapanya, Fazriq kini memberi lebih tumpuan kepada acara beregu lelaki meskipun mampu untuk turut beraksi selaku perseorangan.

Terbaru, beliau bersama pasangannya, Sean Vin Wong telah bersaing di Kejuaraan Junior BWF Dunia yang telah diadakan di Sepanyol pada 24 hingga 30 Oktober yang lalu.

Semoga kita dapat terus melihat kemunculan lebih ramai anak bekas pemain negara untuk mewakili Malaysia di pentas badminton dunia satu hari nanti.

Siapa tahu kita akan dapat melihat kemunculan ‘The Next Lee Chong Wei’ dalam tempoh 10 tahun mendatang?