Nafuzi idam bertemu JDT sekali lagi di final, belum rancang masa depan untuk beri fokus kepada Piala Malaysia

1,657

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain tekad untuk menebus kembali kekecewaan yang dialami oleh beliau dan pasukan sewaktu tewas di tangan Johor Darul Ta’zim FC pada perlawanan akhir Piala FA tahun ini.

Kedua-dua pasukan tersebut pada ketika ini sedang dalam landasan terbaik tatkala berjaya mara ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia.


“Itu adalah impian saya untuk kembali bertemu JDT di Piala Malaysia, untuk Piala FA mungkin pertama kali untuk saya dan pemain.

Jika berpeluang, kita akan lebih bersedia kali ini berdasarkan pengalaman sebelum ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Nafuzi perlu menyediakan pasukannya bagi menghadapi ancaman daripada lawan mereka, Selangor FC pada pusingan pertama separuh akhir yang akan berlangsung pada 16 November ini,

Ketiadaan tonggak utama Selangor FC, Yazan Al-Arab yang dikhabarkan pulang untuk bersama pasukan negaranya bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa mungkin akan menjadi kelebihan besar buat skuad Sang Penyu dalam merobek gawang lawan.

“Kita tahu semua pemain Selangor berkualiti dan baik, siapa yang mengambil alih tempat tersebut adalah bagus.

Ketiadaan Yazan tidak akan menggangggu rentak Selangor dan tidak menjadi kelebihan untuk kita, kita kena bersedia untuk berhadapan serangan Selangor yang lebih bahaya selepas Cheng Hoe ambil alih.”

Tambahan pula, kesemua pemain Terengganu pada ketika ini berada di dalam tahap terbaik dan bebas daripada sebarang kecederaan.

Berdasarkan situasi tersebut, Nafuzi dilihat berpeluang untuk menurunkan barisan pemain terbaiknya bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

“Dari segi persediaan saya tengok moral pemain semua dalam keadaan yang baik, kita tahu cabaran esok memang hebat, saya sendiri merasa debaran pada ketika ini.

Pemain semua fokus untuk berikan terbaik kerana hanya selangkah ke final, kecederaan pemain ada seorang dua tetapi tidak serius dan dapat beraksi pada esok.”

Pada masa yang sama, beliau enggan mengulas panjang tentang masa depannya susulan daripada pengumuman yang telah dilakukan oleh pihak pengurusan sebentar tadi berkenaan status lanjutan kontraknya.

Difahamkan Nafuzi tidak akan kekal di Terengganu selepas beliau disahkan menolak tawaran yang telah diberikan sebelum ini.

“Untuk soalan itu saya tidak sesuai lagi untuk menjawab kerana ingin memberi fokus kepada perlawanan esok terlebih dahulu.”

Dalam pada itu, Nafuzi juga tidak memberi sebarang komen terhadap kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan sebelum ini.

Sathianathan sebelum ini menyuarakan pendapatnya terhadap isu layanan pihak pengurusan kepada semua jurulatih-jurulatih tempatan yang dilihat seperti dianaktirikan.

“Setiap individu ada pendapat masing-masing, Coach Sathia selaku presiden persatuan jurulatih beliau ada hak untuk bersuara.

Terpulang kepada masing-masing.”